fbpx

Bahasa binari perlu diajar bermula dari sekolah rendah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
WAN AZHAR WAN ABDULLAH,
PENOLONG PENGARANG BERITA

SEJAK merdeka dahulu, Malaysia berjaya menghapuskan buta huruf dalam kalangan rakyat, terima kasih kepada dukungan kerajaan dan kerja keras para guru. Malah, pendidikan sentiasa menjadi teras utama pembangunan negara biarpun ketika itu, negara serba kekurangan baik dari segi infrastruktur atau tenaga pengajar.

Beberapa dekad sudah berlalu, kini hampir 100 peratus rakyat Malaysia sudah celik huruf.

Malah, ramai rakyat di negara ini boleh bertutur, membaca dan menulis menggunakan lebih daripada satu bahasa. Pembelajaran di Malaysia menggalakkan pelajar mempelajari bahasa sekunder dan tertiari selain bahasa ibunda seperti Inggeris, Mandarin, Tamil, Jepun, Arab dan banyak lagi.

Bahasa semestinya jambatan ilmu. Mahir dalam sesuatu bahasa membuka pintu untuk kita mempelajari pengetahuan bangsa tersebut. Pendek kata, bahasa adalah jambatan ilmu dan ilmu pula sumber kekuatan dan lubuk kekayaan.

Walaupun ramai pelajar kita masa kini adalah bilingual, malah ada yang multilingual, pada hemat penulis, kita jauh ketinggalan, malah boleh dikatakan buta huruf dalam bahasa paling penting abad ini.

Bahasa tersebut dominan dalam hampir semua cabang ilmu. Ia yang terdiri daripada kombinasi 1 dan 0, digunakan untuk bertutur dan mengarahkan mesin.

Berapa ramai pelajar kita boleh menggunakan bahasa binari ini atau lebih mudah disebut sebagai coding.

Seperti manusia mempunyai berbilang bahasa, mesin juga demikian. Sejak awal penciptaannya, mesin atau komputer berevolusi dan bahasanya juga semakin bertambah.

Bagi membina generasi masa hadapan yang bukan sahaja berdaya saing, malah terkehadapan, tidak dapat tidak, semua pelajar perlu mahir dalam subjek coding.

Kerajaan perlu memastikan bahawa mata pelajaran ini diajar seawal darjah satu. Bahasa teknologi ini seharusnya diberi keutamaan dalam sistem pelajaran Malaysia dan seperti kata pepatah, hendak melentur buluh biarlah daripada rebungnya.

Coding antara lain, mengajar kanak-kanak berkomunikasi dengan mesin dan berfikir secara logik selain memupuk kreativiti dan menambah kemahiran matematik mereka.

Ramai nama besar dalam bidang teknologi maklumat masa kini bermula dengan coding. Kuasa besar coding dunia pula termasuk China, Rusia, Poland, Hungary, India, Switzerland dan Amerika Syarikat.

Kita perlu melangkah sekarang supaya tidak ketinggalan 10 tahun atau lebih teruk beberapa dekad di belakang seperti yang berlaku dalam teknologi sebelum ini.

Kemahiran tersebut adalah seiring dengan keperluan pekerjaan masa kini.

Menurut firma penganalisis Burning Glass, separuh daripada 26 juta peluang pekerjaan yang ditawarkan dalam pasaran kerja memerlukan pemohon mempunyai sedikit sebanyak ilmu pengetahuan dalam bidang coding.

Pekerjaan tersebut pula menawarkan gaji kompetitif lebih RM230,000 setahun.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI