fbpx

Pengawal keselamatan didakwa sentuh bahu kanak-kanak perempuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MUHAMMAD Afiq (tengah) mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dengan maksud seksual telah menyentuh seorang kanak-kanak perempuan berusia 13 tahun dengan memegang kedua-dua bahunya di Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini Pix : ZULHANIFA SIDEK

KOTA BHARU – Seorang pengawal keselamatan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan dengan maksud seksual menyentuh bahu seorang pelajar perempuan di sebuah sekolah di sini Isnin lalu.

Tertuduh, Muhammad Afiq Mohamed Zahari,28, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan maksud seksual telah menyentuh seorang kanak-kanak perempuan berusia 13 tahun dengan memegang kedua-dua bahu daripada belakang dengan menggunakan kedua-dua tangan.

Kesalahan itu dilakukan oleh tertuduh berhampiran tangga berdekatan kelas, tingkat tiga di sebuah sekolah rendah di sini kira-kira pukul 5.14 petang pada 25 Januari lalu.

Muhammad Afiq didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak- Kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 14 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Faizuan Sulaiman manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, pihak pendakwaan tidak menawarkan sebarang jaminan untuk pertuduhan tersebut.

Bagaimanapun, tertuduh dalam rayuannya memohon sejumlah ikat jamin diberikan.

“Saya memohon ikat jamin kerana mempunyai anak dan isteri,” katanya.

Ahmad Bazli kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin termasuk syarat tambahan iaitu tertuduh tidak dibenarkan menganggu mangsa dan perlu melapor diri di balai polis berdekatan setiap bulan.

Mahkamah turut menetapkan tarikh 1 Mac depan untuk sebutan semula kes.

Tertuduh membayar ikat jamin yang ditetapkan. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI