fbpx

Harga unit kediaman subsale bertingkat menurun tahun lalu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Harga bagi unit kediaman subsale (rumah yang dibeli daripada pemilik) bertingkat di negara ini mencatat kemerosotan pada tahun lalu.

Menurut laporan analitik permintaan kediaman subsale 2020 oleh laman hartanah, iProperty.com.my memperincikan, antara faktor penurunan tersebut adalah kerana dipengaruhi penurunan permintaan untuk harta­nah tersebut.

Ia disebabkan gangguan ekonomi berpunca daripada pandemik Covid-19 yang telah me­ngubah kehidupan masyarakat di negara ini.

Pada peringkat nasional, harga bagi kediaman perkhidmatan (servis apartmen) merekodkan kemerosotan paling tinggi iaitu dua peratus dengan harga median RM490,000 manakala harga kondominium merosot 1.4 peratus (harga median 490,000) dan harga apartmen menurun 0.9 peratus (harga median RM250,000).

Kediaman teres bagaimanapun masih mencatatkan pertumbuhan harga sebanyak 2.6 peratus, dengan harga median RM280,000 seunit.

Pengurus Besar Penyelesaian Data Pengguna REA Group Asia, ­ Premendran Pathmanathan berkata, permintaan dalam negara bagi hartanah subsale pada 2020 jatuh sebanyak 1.3 peratus tahun ke tahun.

“Kuala Lumpur terus menca­tatkan penurunan permintaan disebabkan faktor migrasi ke ne­geri lain, terutamanya Sela­ngor. Manakala Selangor merekodkan pertumbuhan permintaan di­sebabkan peralihan minat kepada hartanah di pinggir bandar yang lebih luas dan mampu milik.

“Johor dan Pulau Pinang pula mengalami kemerosotan permintaan tinggi disebabkan penutupan sempadan yang telah mengurangkan sentimen pembeli asing untuk membeli hartanah dan melancong,” katanya ketika membentangkan laporan ber­kenaan secara maya semalam.

Premendran menerangkan, antara pasaran paling teruk terjejas adalah pusat bandar Kuala Lumpur yang merekodkan pe­nguncupan permintaan 8.9 pe­ratus dengan penurunan harga sebanyak 11 peratus manakala George Town mencatatkan kemerosotan permintaan 11.9 pe­ratus serta penurunan harga 7 peratus.

Kawasan yang dijangka bakal mencatatkan pertumbuhan pula ialah Iskandar Puteri, Johor; Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur dan Puncak Alam, Selangor.

Beliau menjelaskan, sektor hartanah dijangka kekal mencabar pada separuh pertama tahun ini dengan peningkatan kes jangkitan Covid-19 dan kawalan pergerakan menyukarkan orang ramai untuk membeli hartanah.
Tambahnya, pihak bank juga dijangka lebih berhati-hati untuk meluluskan pembiayaan di­sebabkan kadar faedah yang rendah.

“Bagaimanapun, pemberian vaksin yang bakal dilaksanakan dijangka kembali memacu ekonomi seterusnya menyokong industri.
“Selain itu, kadar dasar semalaman rendah serta disokong oleh penurunan kadar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan memberi wang lebihan seterusnya me­ningkatkan peluang untuk masyarakat mendapat pem­biayaan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI