fbpx

Proklamasi Darurat terus diteliti Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Darurat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Zuki.

PUTRAJAYA – Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Darurat akan terus memantau perkara berbangkit daripada Proklamasi Darurat sekali gus dapat memberi syor terbaik kepada Sidang Khas Darurat, Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk dipertimbangkan.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali berkata, integrasi keupayaan perkhidmatan hospital sektor awam dan swasta dalam tempoh darurat menjadi antara fokus utama yang dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal dan telah dipersetujui oleh Sidang Darurat Majlis Keselamatan Negara.

Beliau berkata, fokus lain yang turut dipersetujui ialah aspek mobilisasi sumber perkhidmatan awam persekutuan dan negeri.

“Selain itu, turut dipersetujui adalah penggunaan Kem Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN), Kem Bina Negara dan fasiliti lain yang sesuai dijadikan pusat tahanan sementara serta Depoh Tahanan Sementara bagi kegunaan Jabatan Penjara Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) secara sewaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd. Zuki berkata, Sidang Darurat Majlis Keselamatan Negara juga bersetuju supaya Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) bertindak mengumpul sebarang pandangan atau maklum balas rakyat bagi memberi gambaran sebenar kepada kerajaan mengenai situasi darurat semasa.

Beliau berkata, KKMM juga akan bertindak secara strategik dengan mewujudkan saluran khas untuk memastikan segala maklumat berkaitan dengan pelaksanaan pengurusan darurat disampaikan kepada rakyat secara holistik dan tepat.

Dalam pada itu, Mohd. Zuki menekankan bahawa pentadbiran perkhidmatan awam dalam tempoh darurat tidak akan terjejas dan berfungsi seperti sedia ada bagi memastikan kelancaran penyampaian pekhidmatan kerajaan.

“Saya juga ingin menegaskan kepada seluruh rakyat Malaysia untuk sentiasa memastikan segala maklumat dan informasi yang diterima dipastikan terlebih dahulu kesahihannya,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI