fbpx

Majlis Halal Malaysia diaktifkan semula

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zulkifli berucap pada Majlis Perhimpunan Agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri secara maya hari ini. foto- Ihsan Jakim

PUTRAJAYA – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan kembali mengaktifkan Majlis Halal Malaysia (MHM) bagi usaha menangani isu kartel daging import yang membelenggu negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri berkata, langkah itu diambil selepas mengadakan perbincangan secara berasingan bersama agensi berkaitan serta pengimport dan pengedar daging pada 5 dan 11 Januari lalu.

“Saya telah maklumkan perkara ini kepada Perdana Menteri dan beliau akan mempengerusi MHM. Pada masa sama, kita akan kemukakan apa yang patut dilakukan untuk mempertingkatkan dan menambah baik majlis ini,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Agensi Jabatan Perdana Menteri (JPM) secara maya hari ini.

Zulkifli berkata, pihaknya juga akan melancarkan Prosedur Pengiktirafan Badan Pensijilan Halal Luar Negara Malaysia 2021, yang akan dilaksanakan dengan segera.

Katanya lagi, ini adalah usaha memperkukuhkan pensijilan halal Malaysia, dengan memperkemas prosedur pengiktirafan badan pensijilan halal luar negara.

“Saya difahamkan, prosedur ini akan dibuka untuk ulasan awam dan akan dimasukkan dalam portal www.halal.gov.my selama dua minggu bagi memberi peluang kepada pihak yang terlibat dan berkepentingan seperti badan pensijilan halal luar negara atau kedutaan asing untuk memberi ulasan dan pandangan,” katanya.

Penubuhan MHM sebelum ini adalah bertujuan sebagai entiti khas yang menyelaras semua agensi yang terbabit dalam usaha menjadikan Malaysia peneraju halal global.

MHM ditubuhkan selepas Jawatankuasa Khas Kabinet Pengurusan dan Pembangunan Industri Halal dibubarkan pada tahun 2016.

Pada 2 Disember tahun lalu, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) mendedahkan kegiatan kartel daging yang membawa masuk daging tanpa sijil halal sebelum meletakkan logo halal palsu untuk dijual di pasaran tempatan. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI