fbpx

Dicekup kali pertama seludup 1.7 tan benih kerang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
100 guni benih kerang seberat 1.7 tan yang dirampas Jabatan Perikanan Selangor.

SABAK BERNAM – Cubaan kali pertama seorang pemandu lori disyaki bagi menyeludup 100 guni benih kerang seberat kira-kira 1.7 tan dengan upah RM250 gagal selepas diberkas di Simpang 3, Sungai Lang, Sekinchan di sini baru-baru ini.

Penangkapan suspek berusia 30an itu dilakukan kira-kira pukul 12.30 tengah hari pada Sabtu lalu selepas Cawangan Perlindungan Sumber (CPS) Pelabuhan Klang, Jabatan Perikanan Selangor mengesan lori tersebut dalam keadaan mencurigakan di kawasan berkenaan.

Pengarah Perikanan Selangor, Abdul Rahman Abdul Wahab berkata, siasatan awal mendapati pemandu lori tersebut dibayar kira-kira RM250 bagi sekali perjalanan membawa benih-benih kerang yang disyaki dicuri di sepanjang perairan pantai daerah ini.

Katanya, siasatan turut mendapati ini merupakan kali pertama pemandu lori tersebut cuba menyeludup benih kerang berkenaan.

“Hasil pemeriksaan menemui sebanyak 100 guni benih kerang seberat kira-kira 1.7 tan di bahagian belakang lori tersebut yang dibawa tanpa sebarang dokumen sah dari Jabatan Perikanan Malaysia.

“Berat seguni benih kerang itu adalah 17 kilogram dengan nilai rampasan termasuk lori dianggarkan RM150,000,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Beliau memberitahu, kegiatan mencuri benih kerang penyeludupan ini kebiasaanya dilakukan mengikut musim benih kerang di Selangor antara pertengahan November hingga Februari tahun ini.

Difahamkan benih kerang itu kemudiannya diseludup ke Thailand.

Abdul Rahman menegaskan, kesemua barang rampasan termasuk suspek kini ditahan di Pusat Tahanan Vesel Kuala Selangor untuk siasatan lanjut mengikut Akta Perikanan 1985.

“Peraturan 4(3) Peraturan-Peraturan Perikanan (Pemuliharaan dan Kultur Kerang)2002 menyatakan bahawa tiada seorang pun boleh mengambil apa-apa benih kerang dari suatu tapak kerang semulajadi atau tapak kerang.

“Sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya sekali,” jelasnya.

Kosmo! sebelum ini melaporkan penternak kerang di pesisir Pantai Sungai Leman, Sekinchan di sini berdepan ancaman aktiviti mencuri benih kerang didakwa dilakukan sindiket yang menggunakan bot roto.

Sindiket didakwa didalangi penduduk tempatan dari luar kawasan tersebut difahamkan akan menyeludup benih yang dicuri itu ke Thailand. – K!ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI