fbpx
AIDIL (kiri) berkata, dia tidak pernah gagal membayar nafkah dua orang anaknya.

Saya beri nafkah anak-anak setiap bulan tanpa gagal – Aidil Zafuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Bekas suami kepada pelakon Rita Rudaini, Mohd. Aidil Zafuan menjawab tuduhan segelintir netizen yang mendakwa dirinya mengabaikan tanggungjawab membayar nafkah kepada anak-anaknya selama ini.

Menerusi satu perkongsian dalam Instagram, pemain kelab bola sepak Johor Darul Takzim (JDT) itu turut mempunyai bukti pembayaran dan atas alasan tersebut, orang ramai tidak harus sewenang-wenangnya mengeluarkan kata-kata yang boleh menjatuhkan fitnah terhadap dirinya.

“Assalamualaikum untuk maklumat para netizen dan pengikut yang dikasihi. Saya di sini ingin membuat sedikit penjelasan.

“Untuk pengetahuan semua, kenyataan ini bukanlah untuk mengeruhkan keadaan mahu pun mencari kesalahan sesiapa Sudah cukup saya berdiam diri selama ini.

“Saya telah memberi nafkah kepada anak-anak saya pada setiap bulan tanpa gagal yang telah ditetapkan oleh mahkamah. Saya ada semua bukti pembayaran ke dalam akaun. Seharusnya pihak di sebelah sana (pihak Rita Rudaini) sedia maklum bahawa nafkah telah pun diterima pada setiap bulan,” ujarnya.

Dalam perkongsian tersebut, Aidil juga memberitahu bahawa selama ini dia dituduh tidak pernah memberi nafkah untuk dua orang anaknya, Airit Rayyan Rizqin, 11 dan Airit Qaqa Arjuna, 9.

“Saya difahamkan pihak di sebelah sana tidak menerangkan perkara yang sebenar sehingga menimbulkan keraguan orang ramai terhadap saya dan mengatakan bahawa saya seorang bapa yang tidak bertanggungjawab membayar nafkah kepada anak-anak,” katanya dalam hantaran tersebut.

Pada masa sama, pemain berusia 34 tahun itu turut memaklumkan, dia berhak menyatakan setiap tanggungannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) termasuklah pembayaran nafkah anak-anaknya.

Menjelaskan lebih lanjut, Aidil menegaskan tanggungjawabnya sebagai bapa seharusnya menjadi urusan pihaknya dan bekas isteri sahaja.

“Adalah tidak manis urusan keluarga dihebahkan kepada orang ramai. Anda semua sedia maklum yang selama ini saya banyak berdiam diri daripada mengeluarkan sebarang kenyataan dan tuduhan.

“Bukan takut tetapi saya tidak suka bercerita kerana saya tahu akan impak sosial media pada masa akan datang untuk anak-anak yang sedang membesar,” jelas Aidil.

TANGKAP layar InstaStory Aidil menjelaskan keadaan sebenar bahawa dia tidak pernah culas membayar nafkah anak.

Aidil turut memberi amaran kepada mana-mana pihak yang cuba mengeluarkan sebarang kenyataan berbaur fitnah, penghinaan dan cacian tanpa bukti kukuh. Jika tidak, tindakan serius akan diambil.

“Saya tidak akan teragak-agak untuk mengambil sebarang tindakan. Saya juga manusia biasa yang tidak lari daripada melakukan kesalahan.

“Saya juga telah memaafkan kepada sesiapa yang memberi komen sebelum ini dan menganggap mereka tidak tahu perkara yang sebenar,” tegasnya.

Terdahulu pada 2017, semua kes mahkamah membabitkan tuntutan nafkah anak, mutaah dan edah Rita daripada Aidil telah diputuskan.

Mahkamah memerintahkan Aidil membayar RM3,000 sebulan pada Januari 2015, manakala untuk tuntutan mutaah, dia diperintah membayar RM30,000 pada Oktober 2015.

Rita dan Aidil bernikah secara rahsia pada Februari 2008 di Songkhla, Thailand dan sah bercerai di Mahkamah Rendah Syariah Seremban, Negeri Sembilan, September 2013.