fbpx
Kira-kira 500 liter diesel yang disyaki mahu diseludup ke Thailand dirampas di Jeti Taman Pelangi, Kuala Perlis petang semalam.

PPM patahkan cubaan seludup 500 liter diesel ke Thailand

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR – Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu, Kuala Kedah merampas kira-kira 500 liter minyak diesel bernilai RM1,000 yang disyaki mahu diseludup ke Thailand di Jeti Taman Pelangi, Kuala Perlis dekat sini petang semalam.

Pegawai Pemerintahnya, Deputi Superintendan Rohizan Mohamad Saaid berkata, diesel yang diisi di dalam 20 tong ‘jerrycan’ ditemui semasa anggota membuat rondaan Ops Benteng Covid-19 pada pukul 6.45 petang.

Katanya, tong berisi minyak diesel tersebut disembunyikan dalam keadaan mencurigakan dan dipercayai diletakkan di kawasan tersebut sebelum diseludup ke negara jiran.

“PPM telah membuat pemerhatian selama sejam, namun tiada individu yang menuntut tong-tong tersebut.

“Barang rampasan dibawa ke Balai Polis Kuala Perlis untuk tindakan lanjut sebelum diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perlis,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 5 Akta Kawalan Bekalan 1961. – K! ONLINE