fbpx

AHF tunda saingan Trofi Juara-Juara Asia 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEJOHANAN hoki Trofi Juara-Juara Asia terpaksa ditunda ekoran penularan pandemik Covid-19.

PETALING JAYA – Persekutuan Hoki Asia (AHF) mengesahkan saingan Trofi Juara-Juara Asia (ACT) lelaki serta wanita terpaksa ditunda ke September dan Oktober tahun ini daripada tarikh asal yang sepatutnya dianjurkan sekitar Mac depan.

Penganjuran ACT kategori lelaki di Stadium Hoki Maulana Bhasani di Dhaka, Bangladesh telah ditunda kali pertama ke 11 hingga 19 Mac 2021 daripada tarikh 17 hingga 27 November 2020, namun sekali lagi ia terpaksa ditangguhkan sekitar Oktober 2021.

AHF juga mengumumkan edisi keenam kategori wanita bertempat di Donghae, Korea Selatan akan dianjurkan sekitar September 2021 berbanding tarikh sebelum ini, 31 Mac hingga 6 April 2021 yang awalnya patut diadakan pada Jun tahun lalu.

Presiden AHF, Datuk Fumio Ogura menegaskan, keputusan menunda kedua-dua saingan ACT itu buat kali kedua terpaksa dibuat berdasarkan situasi semasa jumlah kes penularan wabak pandemik Covid-19 yang masih berada dalam keadaan membimbangkan ketika ini.

“Keputusan sukar ini dibuat selepas perbincangan antara tuan rumah, pasukan-pasukan bertanding dan FIH (Persekutuan Hoki Antarabangsa) demi menjaga keselamatan dan kesihatan para pemain serta pegawai,” menurut kenyataan rasmi AHF sebentar tadi.

Penangguhan itu pastinya melegakan kem skuad hoki lelaki dan wanita kebangsaan yang ketika ini terpaksa berlatih secara dalam talian disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilanjutkan sehingga 4 Februari depan.

Sebagai rekod, pencapaian terbaik skuad lelaki ialah meraih tempat ketiga dalam semua lima edisi penganjuran ACT bermula 2011 di Ordos, China; 2012 (Doha, Qatar), 2013 (Kakamigahara, Jepun), 2016 (Kuantan) dan 2018 (Muscat, Oman).

Bagi skuad wanita, kejayaan meraih tempat ketiga di Kakamigahara, Jepun sewaktu 2013 adalah pencapaian terbaik sepanjang lima penganjuran sejak edisi pertama dianjurkan di Busan, Korea Selatan pada 2010. – K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI