fbpx

Situasi banjir Sabah kian pulih, 443 mangsa di enam PPS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kakitangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang melakukan kerja pembersihan sejurus banjir surut.

KOTA KINABALU: Penduduk terjejas banjir di Sabah melibatkan empat daerah kekal 443 orang daripada 134 keluarga setakat pukul 9 pagi hari ini.

Jumlah berkenaan tidak menunjukkan sebarang pertambahan atau penurunan sejak malam tadi.

Bagaimanapun, situasi banjir di Sabah sudah semakin pulih berbanding minggu lalu.

Daerah yang masih mencatatkan mangsa banjir ialah Beaufort, Kota Belud, Papar dan Tenom.

Jurucakap Angkatan pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah berkata setakat ini masih terdapat enam Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang dibuka membabitkan semua daerah terjejas.

“Beaufort kini menjadi daerah paling ramai mencatatkan jumlah mangsa banjir yang masih ditempatkan di PPS.

“Seramai 292 mangsa melibatkan 76 keluarga berada di dua PPS iaitu PPS Dewan Datuk Seri Panglima Mohd. Dun Banir dan PPS Dewan Pa’ Musa.

“Selain itu, terdapat 129 mangsa banjir daripada 35 keluarga juga masih berada di PPS Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Suang Punggor serta PPS Dewan Kampung Song-Song bagi daerah Kota Belud.

“Manakala daerah Papar serta Tenom masing-masing mencatatkan seramai 41 mangsa dari 18 keluarga dan 26 mangsa membabitkan lima keluarga,” katanya.

Menurut jurucakap APM Sabah semua mangsa yang terkesan banjir terbabit melibatkan penduduk dari 111 kampung.

Sementara itu, walaupun banjir beberapa lokasi sudah semakin pulih namun terdapat 53 jalan masih digenangi air ketika ini. – K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI