fbpx

Datuk, rakan mengaku salah datangkan cedera, buat kacau ganggu di restoran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Datuk Tan Wai Khan (kiri) dan rakannya Ang Mow Long (kanan) bersama peguam mereka Datuk Suraj Singh (tengah) ketika tiba di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

PETALING JAYA — Seorang Datuk dan rakannya yang tular di media sosial kerana memukul pelanggan di sebuah restoran di Tropicana Avenue, Damansara di sini mengaku bersalah atas dua pertuduhan mendatangkan kecederaan dan melakukan kacau ganggu di Mahkamah Majistret hari ini.

Datuk Tan Wai Khan, 42 dan rakannya Ang Mow Loong, 40, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan ke atas mereka dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Nurshahira Abdul Salim.

Mahkamah bagaimanapun menetapkan 2 April ini bagi pendengaran fakta kes dan jatuh hukum.

Mengikut pertuduhan, Wai Khan dan Mow Long didakwa secara bersama-sama dengan sengaja telah mendatangkan kecederaan dengan cara memukul Kwan Pei Chong, 31, di Restoran Steamboat TST, Tropicana Avenue, Damansara, di sini, pukul 9 malam, pada 12 Januari lalu.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda yang boleh sampai RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
.
Bagi pertuduhan berikutnya, mereka bersama-sama didakwa telah melakukan kacau ganggu yang boleh menyebabkan kegusaran kepada pelanggan dan pekerja pada tempat dan masa sama mengikut Seksyen 290 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman denda maksimum RM400.

Sementara itu bagi dua pertuduhan lain, Wai Khan mengaku bersalah dengan sengaja mendatangkan kecederaan dengan cara memukul terhadap dua mangsa, Magdalene Wong Chung Yi, 31, dan rakannya Lee Dek Quan, 25, pada tempat dan masa sama.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda yang boleh sampai RM2,000 atau kedua-duanya.

Bagaimanapun, bagi satu lagi pertuduhan, Wai Khan mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan melakukan khianat dengan cara memecahkan pinggan mangkuk milik Kwan Pei Choong, 31.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 12 bulan atau denda atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Siti Zubaidah Mahat menawarkan jaminan RM7,000 bagi setiap tertuduh dan setiap pertuduhan dengan seorang penjamin.

Namun peguam Datuk Suraj Singh, yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon jumlah jaminan yang rendah atas alasan anak guamnya telah memberikan kerjasama baik sepanjang siasatan selain tidak mempunyai risiko untuk melarikan diri.

Mahkamah kemudian membenarkan Wan Khan diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin manakala jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin bagi Mow Long untuk kesemua pertuduhan yang masing-masing dihadapi mereka.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI