fbpx

F&NHB labur RM60 juta miliki tiga syarikat F&B

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Fraser & Neave Holdings Bhd. (F&NHB) bakal menjadikan makanan halal sebagai pertumbuhan teras baharu Kumpulan berikutan pemilikan tiga syarikat makanan dan minuman dengan pelaburan sebanyak RM60 juta.

Syarikat tersebut terdiri daripada Sri Nona Food Industries Sdn. Bhd., Sri Nona Industries Sdn. Bhd. dan Lee Shun Hing Sauce Industries Sdn. Bhd.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Lim Yew Hoe berkata, pelaburan ini akan membolehkan syarikat menambah lagi jenama makanan seisi rumah Malaysia kepada portfolio jenama terkenal Kumpulan.

“Para pemegang saham F&NHB menyokong strategi yang dibentangkan oleh Lembaga Pengarah dan Pengurusan F&NHB untuk mencapai pertumbuhan mampan dan mencapai misinya untuk menjadi syarikat F&B yang lengkap dan terkemuka di ASEAN,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan bersempena mesyuarat agung tahunan ke-59 dan juga mesyuarat agung luar biasa yang diadakan di sini semalam.

Yew Hoe menjelaskan, Kumpulan sentiasa merancang strategi untuk mentafsirkan se­mula perniagaannya menerusi pertumbuhan organik dan si­nergi perniagaan bagi memastikan masa depan yang lebih mampan.

“Pelaburan terbaharu ini akan menjadi platform untuk meluaskan lagi operasi Kumpulan dalam segmen makanan halal bagi memenuhi permintaan pe­langgan yang sema­kin meningkat bagi produk mudah dan sedia untuk dimakan.

“Dengan keupayaan kajian dan pembangunan yang kukuh, kami yakin pengambilalihan baharu ini akan membantu kami mengembangkan kategori makanan halal.

“Sekali gus ia akan melengkapi tawaran sedia ada kami dan memperkenalkan lebih ba­nyak produk inovatif untuk me­ningkatkan margin keuntungan untuk jangka panjang,” jelasnya.

F&NHB mengakhiri tahun kewangan berakhir 30 September 2020 dengan prestasi mantap yang diterajui oleh pencapaian lebih baik pada suku pertama dan pemulihan pada suku keempat serta eksport yang kukuh.

Kumpulan menjana hasil berjumlah RM3.99 bilion bagi tahun kewangan tersebut selain mengekalkan untung selepas cukai mencecah RM410.1 juta walaupun dibatasi kesan pandemik Covid-19 dan tekanan harga komoditi.

Selain itu, F&NHB telah membuat persiapan untuk mengekalkan pertumbuhan de­ngan melabur dalam pelbagai inisiatif untuk memacu inovasi dan kemampanan perniagaan.

Kumpulan telah membuat peruntukan sebanyak RM30 juta untuk membiayai program tenaga boleh diperbaharui termasuk projek bumbung solar 10MWp di kilang Shah Alam, Pulau Indah dan Bentong, Pahang.

Di samping itu, tiga projek perbelanjaan modal yang sedang dilaksanakan di­jangka selesai menjelang tahun kewangan 2021.
Ia terdiri daripada sebuah gudang bersepadu bernilai RM182 juta di Shah Alam yang dilengkapi dengan Sistem Pengambilan Barang Simpanan Automatik (ASRS), sebuah Pusat Pengagihan Serantau (RDC) seluas 20,000 meter persegi untuk dilengkapi dengan ASRS bernilai RM40 juta dan barisan pengeluaran air minuman 200 bpm serta gudang bernilai RM20 juta di Sabah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI