fbpx

PKP 2.0 belum nampakkan hasil turunkan kes Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Noor Hisham

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) menjelaskan kes positif Covid-19 yang terus kekal tinggi sejak seminggu lalu disebabkan oleh pendedahan jangkitan sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pelaksanaan PKP 2.0 sejak 13 Januari lalu belum lagi menampakkan hasil.

Beliau berkata, kementerian menjangkakan, impak pelaksanaan PKP 2.0 terhadap jangkitan kes Covid-19 akan dapat dilihat dalam tempoh seminggu lagi.

“Kita harap dalam tempoh seminggu lagi kita akan lihat jumlah kes akan stabil kepada 3,000 kes sebelum kita lihat sama ada pelaksanaan PKP 2.0 dapat menurunkan kes jangkitan atau tidak.

“Walaupun kita dah jalankan PKP 2.0 tapi hasil dan kesan daripada pelaksanaan belum dapat kita lihat lagi buat masa ini,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Beliau berkata demikian selepas ditanya sama ada kerajaan akan memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) PKP 2.0 berikutan trend jangkitan terus kekal tinggi buat masa ini.

Katanya, kementerian juga akan menilai selepas melihat impak pelaksanaan PKP itu sama ada ia perlu dilanjutkan untuk tempoh dua minggu lagi atau tidak.

Jelasnya lagi, pertambahan kes positif buat masa ini bukan di Lembah Klang sahaja tapi hasil daripada kluster rentas negeri dan daerah.

Dalam pada itu, Noor Hisham berkata, kementerian akui tidak mampu menampung kesemua pesakit positif Covid-19 di hospital atau Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC).

Justeru, katanya, kerajaan mempertimbangkan supaya kes positif yang tiada gejala dan tidak berisiko boleh diasingkan di rumah tetapi perlu penuhi syarat ditetapkan.

“Buat masa ini, kami sedang memperkemaskan pemantauan individu-individu yang menjalani kuarantin di rumah dan jika keadaan rumah tidak sesuai serta pesakit tidak bergejala dan berisiko, pesakit juga akan dibawa ke PKRC.

“Jika keadaan di rumah sesuai, mereka perlu asingkan diri dari ahli keluarga yang lain dan tidak boleh ada pelawat,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Noor Hisham berkata, pihaknya mengesan peningkatan kes bagi pesakit tahap 3, 4 dan 5 yang mana mereka perlu dimasukkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan.

“Buat masa ini, jika ada 3,000 kes sehari, kira-kira 20 peratus atau 600 pesakit akan dimasukkan ke hospital,” katanya.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI