fbpx

RM15 bilion bantu rakyat susah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan,

PETALING JAYA – Kerajaan semalam mengumumkan pelaksanaan pakej bantuan Perlin­dungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) bernilai RM15 bilion bagi menjamin kehidupan rakyat serta membantu menjana ekonomi negara yang terjejas akibat penularan Covid-19.

Perdana Menteri, Tan Sri Muh­yiddin Yassin berkata, pakej bantuan Permai akan menambah baik inisiatif sedia ada dan juga mempercepatkan lagi pelaksa­naan inisiatif berkaitan.

“Sebanyak 22 inisiatif dilak­sanakan di bawah Permai ber­teraskan tiga matlamat iaitu me­merangi Covid-19, memelihara kebajikan rakyat dan menyokong kelangsungan perniagaan,” kata­nya pada Pengumuman Khas Pakej Bantuan Permai semalam.

Muhyiddin memberitahu, se­perti diumumkan dalam Belanjawan 2021, pemberian one-off sebanyak RM500 kepada semua petugas barisan hadapan kesihatan dan RM300 bagi frontliner yang lain akan mula dibayar dalam suku pertama tahun ini.

Katanya, bayaran bulanan sedia ada yang diterima sebanyak RM600 oleh petugas barisan hadapan kesihatan dan RM200 kepada frontliner yang lain akan tetap diteruskan sehingga Co­vid-19 berakhir.

“Selain itu, bayaran fasa ter­akhir Bantuan Prihatin Nasional 2.0 akan dipercepatkan mulai 21 Januari ini melibatkan 11.1 juta penerima,” ujarnya.

Perdana Menteri berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat juga akan segera melaksanakan Program Bakul Makanan yang merangkumi barang makanan keperluan bernilai RM100 bagi setiap isi rumah yang layak.

Katanya, ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), bantuan moratorium, lanjutan moratorium dan pengurangan bayaran balik pinjaman akan terus ditawarkan pihak bank.

Selain itu, Muhyiddin berkata, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan membuat pembayaran pendahuluan sehingga RM1,000 bagi permohonan i-Sinar kategori 2.

Katanya, proses pembayaran pendahuluan i-Sinar kategori 2 juga dipermudahkan kerana ahli hanya perlu mengisytiharkan bahawa mereka memenuhi kriteria dan menghantar dokumen sokongan secara online.

“Kerajaan telah meminta KWSP memudahkan proses pem­bayaran pendahuluan ini yang akan dibuat mulai 26 Janua­ri ini,” katanya.

Perdana Menteri berkata, ke­rajaan akan memberi bantuan kewangan one-off sebanyak RM500 kepada 14,000 pemandu pelancong serta 118,000 pemandu teksi, bas sekolah, bas persiaran, kereta sewa dan e-hailing.

Menurutnya, kerajaan juga menghargai sumbangan delivery riders dan sejumlah RM24 juta diperuntukkan bagi membiayai caruman penuh mereka di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri.

“Bagi mereka hilang pe­kerjaan ketika PKP, kerajaan bersetuju melonggarkan syarat permohonan program Sistem Insurans Pekerjaan atau SIP PRIHATIN.

“Mereka yang tidak memenuhi caruman minimum atau tidak dilanjutkan kontrak perkhidmatan setelah pembaharuan dibuat sekurang-kurangnya tiga kali, se­karang dibenarkan memohon SIP PRIHATIN sebanyak 30 peratus daripada gaji mereka selama tiga bulan,” ujarnya.

Muhyiddin berkata, diskaun khas bil elektrik sebanyak 10 pe­ra­tus bagi tempoh Januari hingga Mac 2021 kepada enam sektor meliputi pengendali hotel, taman tema, pusat konvensyen, pusat beli-belah, pejabat syarikat pener­bangan tempatan serta agensi pengembaraan dan pelancongan.

“Di samping itu, rebat elektrik diberikan kepada semua pengguna domestik dan bukan domestik pada kadar 2 sen setiap kilowatt per jam iaitu bersamaan penurunan bil elektrik sehingga 9 peratus bagi tempoh 6 bulan mulai 1 Januari hingga 30 Jun 2021,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI