fbpx

Jabatan Perhutanan Perak siasat pengusaha kuari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEORANG penduduk kampung melihat kemusnahan air terjun Tanjung Batu yang terletak dalam kawasan Hutan Simpan Segari Melintang akibat aktiviti kuari batu. Foto -ZULFACHRI ZULKIFLI.

BERUAS – Pengusaha kuari di kawasan Hutan Simpan Segari Melintang di Pantai Remis dekat sini bakal berdepan tindakan undang-undang jika terbukti melakukan perkara yang menyebabkan kemusnahan di kawasan Air Terjun Tanjung Batu di hutan simpan tersebut.

Pengarah Jabatan Perhutanan Perak, Datuk Mohamed Zin Yusop, berkata pihaknya akan melakukan semakan sama ada kontraktor yang terlibat telah melanggar syarat lesen yang ditetapkan.

“Tindakan sewajarnya akan diambil mengikut peruntukan Akta Perhutanan Negara 1984 jika terbukti pihak berkaitan melanggar syarat lesen ditetapkan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Kosmo! Online semalam melaporkan, projek perkuarian yang diusahakan oleh salah satu agensi berkaitan kerajaan (GLC) dipercayai menjadi punca kepada kemusnahan khazanah alam Air Terjun Tanjung Batu di Segari.

Tambah Mohamed Zin, pihaknya telah mengarahkan kontraktor terlibat untuk melakukan kerja-kerja pembersihan di kawasan air terjun seluas lebih satu hektar itu dengan segera.

Menurut beliau, pihaknya mempercayai  aktiviti kuari di kawasan berdekatan menjadi faktor utama berlaku masalah tersebut.

Pada masa sama, katanya, hujan lebat yang berlaku di situ telah menyebabkan sisa-sisa kayu yang dibersihkan di kawasan atas bukit telah hanyut ke dalam sungai dan kawasan air terjun tersebut.

Menurutnya, pihaknya kini sedang menunggu laporan dari Pejabat Hutan Daerah mengenai keseriusan tahap kemusnahan yang berlaku di air terjun tersebut.

Sementara itu, Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, kerajaan negeri telah mengarahkan Jabatan Perhutanan dan Jabatan Alam Sekitar untuk melakukan siasatan menyeluruh berhubung kejadian tersebut.

“Pihak perbadanan Menteri Besar (MB Inc) juga diminta menyediakan laporan terperinci mengenai aktiviti kuari yang didakwa menjadi punca kepada kerosakan kawasan berkenaan.

“Sehubungan itu, kerajaan negeri juga mengarahkan supaya sebarang kerja-kerja di kawasan tersebut dihentikan sementara menunggu hasil siasatan mengenainya selesai,” katanya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI