fbpx

SPAN potong bekalan air tapak semaian cili kerana guna bekalan air tidak sah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tapak semaian cili di Semenyih yang didapati menggunakan bekalan air secara haram.

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) bertindak memotong bekalan air di sebuah tapak semaian cili fertigasi di Semenyih, semalam kerana menggunakan bekalan air secara tidak sah.

Menerusi kenyataan akhbar, SPAN berkata, pihaknya bertindak hasil maklumat risikan dan mendapati wujud aktiviti penyambungan bekalan air secara menyalahi undang-undang di tapak semaian itu.

“Hasil siasatan di tapak telah menemui satu sambungan paip tanpa menggunakan meter yang disyaki digunakan bagi tujuan tapak semaian tersebut dan kegunaan harian pekerja.

“Tindakan pemotongan bekalan air diambil serta-merta dan pengusaha tapak semaian yang bertanggungjawab akan dipanggil untuk memberi keterangan dan bakal berdepan tindakan undang-undang,” katanya.

Katanya, operasi berkenaan disertai Unit Penguatkuasaan, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dan Bahagian Penguatkuasaan SPAN.

Menurutnya lagi, SPAN sentiasa komited menjalin kerjasama berterusan bersama operator bekalan air bagi mencegah aktiviti penyambungan bekalan air secara menyalahi undang-undang yang menjadi penyumbang kepada pengurangan kadar air tidak terhasil (NRW).

“Kesalahan membuat penyambungan bekalan air secara menyalahi undang-undang dari sesalur utama awam boleh disiasat mengikut Seksyen 123(1) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 [Akta 655].

“Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Katanya, pengguna boleh menghubungi talian 03-8317 9333 atau emel [email protected] jika mempunyai maklumat mengenai penyambungan bekalan air yang menyalahi undang-undang. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI