fbpx

Daerah Penampang dilanda banjir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pasukan Bomba dan Penyelamat sudah bersiap sedia di Daerah Penampang.

PENAMPANG – Hujan lebat sejak petang semalam mengakibatkan kira-kira 16 kampung serta taman perumahan dilanda banjir di sekitar daerah Penampang di sini.

Turut dilaporkan sebanyak 12 jalan di sekitar daerah berkenaan juga sudah dinaiki air sehingga tidak dapat dilaluan kenderaan.

Paras bacaan air di sekitar Penampang setakat ini dicatatkan mencecah 9.49 meter iaitu melebihi paras bahaya.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, operasi pemindahan penduduk terjejas mula dijalankan sejak lewat malam tadi.

“Setakat ini operasi pemindahan membabitkan seramai 31 individu daripada tujuh keluarga sekitar penampang.

“Semua mangsa dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di rumah Kelab Kompleks Sukan Penampang,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mengulas lanjut, jurucakap JBPM menyatakan operasi masih diteruskan membabitkan kerjasama pelbagai agensi pasukan keselamatan yang membuat pemantauan di beberapa kawasan yang dinaiki air.

Menurutnya, pemantauan mendapati paras air semakin meningkat berikutan hujan masih lagi berterusan.

“Kawasan yang terjejas adalah membabitkan Millenium Height Bundusan, Penampang Proper, Kampung Kumbau, Kg Dabak, Kg Limbanak Kituau, Kg Kolopis, Kg Inobong, Kg Tuavon, Kg Nambazan dan Kg Kibabaig.

“Selain itu, turut terjejas Kg Dungkahang, Pekan Donggongon, Taman Penampang, Regency Park dan Taman Sahabat,” katanya.

Sementara itu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang dinaiki air sehingga menyebabkan sebahagian urusan di IPD berkenaan tergendala seketika.

Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim bagaimanapun berkata, pasukan petugas polis meneruskan operasi pemantauan banjir termasuk menjaga lalu-lintas di kawasan terjejas.

“Kebanyakan jalan utama di sekitar Daerah Penampang dinaiki air dan pengguna jalan raya diminta untuk berhati-hati ketika melalui kawasan banjir serta patuh kepada arahan semasa oleh pihak berkuasa.

“Sebarang pertanyaan mengenai perkembangan banjir serta kawasan-kawasan yang terlibat boleh hubungi Bilik Gerakan Operasi Bencana Daerah Penampang di talian 088-726054,” katanya. -K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI