fbpx
Shafien (kiri) bertanyakan sesuatu kepada pemadu kereta pada sekatan jalan raya Pasir Pekan, Tumpat baru-baru ini.

Peniaga, pekerja harian dibenar rentas daerah sepanjang PKP Kelantan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUMPAT – Polis memberi ruang kepada peniaga dan individu yang mencari rezeki secara harian untuk merentas daerah dengan mengeluarkan surat kebenaran perjalanan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan di Kelantan bermula hari ini.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, ia merupakan salah satu bentuk kemudahan yang diberikan agar ekonomi di negeri ini tetap bergerak meskipun di dalam suasana PKP.

Katanya, bagaimanapun, peniaga atau pekerjaan harian perlu mengemukakan dokumen yang kukuh sebelum surat tersebut dikeluarkan di balai-balai polis berhampiran mereka.

“Bagaimanapun, mereka harus jujur dan menunjukkan bukti-bukti kukuh sebelum memohon surat itu. Kemudahan ini diberikan untuk menggerakkan ekonomi negeri, namun paling penting adalah untuk memutuskan rantaian penularan wabak Covid-19,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan di sekatan jalan raya (SJR) di Pasir Pekan di sini malam tadi.

Semalam, Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Kelantan menjadi negeri ketujuh yang akan melaksanakan PKP bermula hari ini sehingga 26 Januari depan.

Mengulas lanjut, menurut Shafien, selain daripada kemudahan kepada peniaga dan pekerja harian, polis Kelantan juga boleh mengeluarkan surat kebenaran rentas daerah di 19 SJR seluruh negeri kepada individu yang mempunyai hal kecemasan.

Katanya, oleh itu, orang ramai tidak perlu lagi berpatah balik untuk ke balai polis berhampiran bagi tujuan memohon surat kebenaran rentas daerah.

“Harus diingat, setiap permohonan melibatkan hal kecemasan perlu disertakan dengan bukti seperti panggilan telefon atau mesej melalui WhatsApp. Kita tidak akan sewenang-wenangnya mengeluarkan surat tanpa alasan kukuh,” katanya.

Dalam perkembangan lain, menurut Shafien, seramai 448 anggota polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan ditugaskan di 19 SJR di seluruh negeri Kelantan sepanjang tempoh PKP. – K! ONLINE