fbpx
ARSENAL terpaksa akur terikat tanpa jaringan menentang Palace awal pagi semalam selepas mencatat tiga kemenangan sebelum ini. – AFP

Arsenal kepenatan momentum tersekat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON – Pengurus Arsenal, Mikel Arteta enggan menyalahkan barisan pemain selepas gagal meneruskan momentum kemenangan selepas seri tanpa jaringan pada aksi bertemu Cry­s­tal Palace di Stadium Emirates dalam kancah Liga Perdana Inggeris (EPL) awal pagi semalam.

Kata Arteta, ketumpulan jentera serangan yang gagal mencipta sebarang peluang berharga seperti sudah dijangka selepas barisan pemain kelihatan berdepan masalah kepenatan kerana mengharungi ja­dual perlawanan yang cukup padat.

“Pasukan kami dilihat ber­aksi di bawah tahap sebenar kerana mereka terlalu penat selepas mengharungi jadual padat. Jus­teru, jentera serangan agak tumpul terutama ketika untuk mencipta peluang buat rakan sepasukan.

“Secara jujur, saya mahu melihat momentum kemenangan diteruskan tetapi ia tidak berlaku pada perlawanan ini. Pujian juga harus diberikan kepada pasukan lawan yang bertahan dengan sangat baik sepanjang 90 minit perlawanan sehingga menyukarkan kami,” katanya.

Sementara itu, Arteta mengesahkan bahawa bek kiri utama, Kieran Tierney tidak dapat bersama pasukan pada aksi bertemu Palace kerana mengalami kecederaan selepas saingan Piala FA minggu lalu.

“Kehilangan Tierney memberi impak besar buat pasukan kami dalam merencanakan serangan khususnya di posisi kiri. Namun, saya harap dia tidak mengalami kecederaan yang serius dan ujian imbasan yang bakal dilakukan oleh pegawai perubatan kami memberikan keputusan positif,” katanya.

Skuad The Gunners yang me­ngalami kemerosotan prestasi musim ini hanya mampu me­ngumpul 24 mata selepas mengharungi 18 perlawanan liga dan dijadualkan bertemu Newcastle United di Emirates untuk satu lagi aksi EPL pada awal pagi Selasa nanti. – AGENSI