fbpx

Bulan ejen buat duit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
KHAIRI MOHAMAD,
PENOLONG PENGARANG BERITA

JENDELA perpindahan sentiasa menjadi tumpuan para peminat bola sepak kerana masing-masing mahu melihat pasukan kesayangan mendapatkan pemain yang berkualiti untuk memperkuatkan lagi pasukan.

Di Eropah, jendela perpindahan ini berlangsung dalam dua tempoh masa iaitu musim panas dan musim sejuk, namun tarikhnya bergantung kepada Persatuan Bola Sepak (FA) masing-masing.

Kali ini, semua pasukan di Eropah memasuki fasa kedua perpindahan iaitu jendela perpindahan musim sejuk yang berlangsung kurang lebih selama 33 hari bermula 1 Januari lalu.

Fasa kedua ini adalah kesempatan buat pasukan untuk menambah kekuatan mereka atau memperbaiki prestasi dengan mendapatkan pemain-pemain baharu selepas separuh pertama musim.

Walaupun pasaran musim sejuk biasanya tidaklah begitu glamor sebagaimana jendela musim panas yang menjadi tumpuan utama, namun ia masih relevan.

Setiap kali pasaran dibuka, pasukan yang memburu pemain yang mereka inginkan pastinya sudah bersiap dengan dana tertentu, manakala bagi pasukan yang pemain mereka diburu pula, sudah pasti memikirkan mengenai tanda harga yang perlu diletakkan.

Bagaimanapun, dicelah-celah urusan tersebut sentiasa ada individu atau organisasi yang terkena tempias keuntungan iaitu mereka yang dikenali sebagai ejen bola sepak.

Menurut laporan, Liverpool telah membelanjakan sebanyak £43.8 juta (RM239.69 juta) sebagai bayaran untuk ejen-ejen yang terlibat sepanjang Februari 2018 hingga Januari 2019 ketika mereka mendapatkan ramai pemain baharu.

Dalam tempoh berkenaan juga, pasukan-pasukan gergasi Liga Perdana Inggeris membayar sebanyak £260.6 juta (RM1.4 bilion) berbanding £211 juta (RM1.1 bilion) bagi tempoh yang sama sebelum itu.

Berapa banyak pendapatan yang diperoleh ejen bergantung kepada siapa klien dan berapa banyak klien yang mereka ada.

Menurut Sports Management Worldwide, ejen pemain di Liga Perdana Inggeris biasanya memperoleh pendapatan antara £1,200 (RM6,600) hingga £550,000 (RM3 juta) komisen daripada setiap klien mereka setahun.

Pensyarah bahagian kewangan bola sepak daripada Universiti Liverpool, Kieran Maguire dalam kajiannya percaya super ejen, Mino Riola yang menguruskan Paul Pogba menerima sekitar £20 juta (RM109.45 juta) sebagai komisen daripada

Manchester United yang melengkapkan perpindahan pemain itu ke Old Trafford dengan nilai £89 juta (RM487.04 juta).

Para ejen ini mampu meraih jumlah wang yang banyak menerusi komisen perpindahan, gaji pemain atau bayaran penajaan yang diterima oleh pemain.

Maka, tidak hairanlah para ejen kini berlumba-lumba mengesan bakat baharu dengan harapan Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo ‘kedua’ akan lahir untuk mengaut kekayaan.

Super ejen seperti Jorge Mendes yang menguruskan Ronaldo dilaporkan memiliki kekayaan berjumlah £100 juta (RM547.24 juta), manakala Riola yang mempunyai senarai pemain seperti Zlatan Ibrahimovic, Erling Haaland dan Pogba memiliki harta separuh daripada itu.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI