fbpx

76 PATI ditangkap dalam dua siri serbuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PATI yang ditahan anggota keselamatan dalam dua siri serbuan semalam dan hari ini.

PETALING JAYA- Seramai 76 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia yang cuba keluar dan masuk melalui jalan tidak sah ditangkap dalam dua siri serbuan semalam dan hari ini.

Dalam serbuan pertama, anggota petugas Pos Pemerhati mengesan kehadiran sebuah bot pancung yang sedang menurunkan PATI kira-kira 100 meter dari pesisir pantai Teluk Ramunia, Kota Tinggi, Johor pada pukul 3.40 pagi semalam.

Katanya, mereka turut mengesan kelibat PATI sedang berkumpul dalam hutan di persisiran pantai berhampiran lokasi sama pendaratan bot.

“Pasukan telah mengatur gerak tim Quick Reaction Force (QRF) bersama Tim Dron Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP) untuk membuat penjejakan dan mengepung kawasan berkenaan. Pada masa sama, pasukan dari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) turut membuat pengawasan di sekitar kawasan tersebut.

“Hasil serbuan yang dilakukan sekitar jam 4.35 pagi telah berjaya menahan 55 PATI yang sedang bersembunyi dalam hutan berhampiran kawasan itu,” menurut kenyataan yang dikeluarkan Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia hari ini.

Dua PATI ditahan pukul 5.25 pagi dan 13 lagi ditahan pukul 7.50 pagi, menjadikan jumlah keseluruhan tangkapan seramai 70 orang terdiri daripada 64 lelaki dan enam perempuan berusia antara 21 hingga 47 tahun.

Manakala dalam serbuan kedua hari ini, anggota petugas Pos Pemerhati mengesan bot pancung menuju ke arah Kuari Batu, Kampung Tanjung Che Lahom, Pengerang, Johor yang menurunkan PATI.

“Hasil serbuan sekitar pukul 5.20 pagi oleh tim QRF bersama Tim Dron BSPP telah berjaya menahan lima PATI yang baru tiba ke Negara ini. Pada pukul 7.15 pagi, seorang lagi PATI telah ditahan di sekitar Kampung Masjid Teluk Ramunia ketika sedang menunggu bot untuk pulang ke negara asal,” katanya.

Kesemua PATI tersebut terdiri daripada lima perempuan bersama seorang lelaki berusia 27 hingga 35 tahun.

Nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM 69,748.50 melibatkan wang tunai pelbagai jenis matawang, jam tangan, barangan kemas serta telefon bimbit.

Kesemua PATI ditahan dan dibawa ke Markas Taktikal Tanjung Sepang untuk menjalani pemeriksaan dan saringan Covid-19 sebelum diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia Setia Tropika, Kempas.

Laporan polis telah dibuat di Balai Polis Bayu Damai. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI