PUTRAJAYA – Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin disahkan positif Covid-19 setelah menerima keputusan ujian saringan awal pagi tadi.
Pejabat Timbalan Menteri dalam satu kenyataan berkata, Zahidi menjalani ujian saringan Covid-19 sejurus tiba di Kuala Lumpur dari Pulau Pinang pada 11 Januari lalu.
“Beliau telah dibawa ke Hospital Sungai Buloh, Selangor untuk menjalani rawatan lanjut mengikut garis panduan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan,” katanya hari ini.
Kenyataan itu berkata, Zahidi kini berada dalam keadaan yang stabil dan memohon maaf atas segala kesulitan yang timbul.
“Beliau juga berdoa agar Allah SWT mempermudah urusan semua yang terlibat,” katanya.
Pada 25 Disember tahun lalu, Zahidi telah menjalani ujian saringan Covid-19 dan keputusannya negatif. – K! ONLINE