fbpx
Gambar hiasan

Pandemik menular lebih cepat daripada vaksin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
WAN AZHAR WAN ABDULLAH,
PENOLONG PENGARANG BERITA

SECARA AMNYA, manusia menemui penawar jangkitan bakteria dan penyakit yang dahulu mengerikan dapat disembuhkan menggunakan antibiotik.

Namun, bagaimana dengan ancaman virus? HIV, H1N1, Selesema Sepanyol, Ebola, Denggi dan terbaharu, Covid-19 adalah penyakit bawaan virus.

Cara memerangi wabak bawaan virus adalah menggunakan vaksin. Vaksin tidak membunuh virus, tetapi merangsang imunisasi bagi melawan jangkitan tersebut.

Penggunaan vaksin berjaya mengatasi pelbagai wabak yang dahulunya meragut ratusan ribu nyawa seperti cacar. Seiring dengan kemajuan dalam bidang perubatan, manusia menghasilkan ubat antiviral tetapi skop penggunaannya terhad.

Ubat antiviral memperlahankan jangkitan virus dalam badan, namun sehingga kini kaedah efektif memerangi wabak bawaan virus masih lagi vaksin. Adakah manusia selama-lamanya boleh bergantung dengan vaksin apabila pandemik menjadi semakin berbahaya?

Penularan Covid-19 amat pantas dan menyeramkan, tidak seperti Ebola dan SARS. Kita bernasib baik kerana koronavirus tidak mengakibatkan jangkitan yang membawa boleh kematian dalam tempoh singkat seperti Ebola.

Apa yang akan berlaku sekiranya pandemik pantas menular seperti Covid-19 dan mempunyai kadar kematian tinggi seperti Ebola muncul? Menurut laman Forum Ekonomi dunia, sesuatu vaksin biasanya mengambil masa 10 tahun untuk dibangunkan.

Tempoh menghasilkan vaksin Covid-19 bagaimanapun di luar dugaan. Sepanjang pembacaan penulis, kerajaan di seluruh dunia berkata, tiada jalan singkat diambil untuk menghasilkan vaksin Covid-19, tetapi tidak memperincikan bagaimana kejayaan dicapai begitu cepat.

Sebelum ini, vaksin Ebola diuji pada 2015 dan mendapat kelulusan Pertubuhan Kesihatan Sedunia pada 2019. Bagi kes denggi, usaha membangunkan vaksin bermula seawal 1920-an tetapi setakat 2019, hanya satu vaksin demam denggi diluluskan di bawah jenama Dengvaxia.

Kesimpulannya, vaksin mengambil masa agak lama untuk dihasilkan kerana melibatkan pelbagai peringkat bagi memastikan ia berkesan serta selamat. Bagaimana pula jika kita berdepan pandemik yang lebih pantas merebak berbanding Covid-19 dan lebih berbahaya. Mungkin ada yang berkata soalan itu hipotetikal tetapi ia tidak mustahil.

Sekiranya pandemik seperti itu berlaku, tidak mustahil ratusan juta manusia akan hilang nyawa sebelum vaksin dapat dihasilkan.

Sepanjang pengetahuan penulis, dua cara utama iaitu vaksin dan ubat antiviral adalah kaedah efektik bagi memerangi virus.

Satu lagi alternatif adalah dengan memperkasakan sistem imunisasi badan. Manusia memerlukan satu bentuk panakea dalam memerangi virus seperti ubat antibiotik, namun penyelesaian tersebut masih belum ditemui.

Apa yang pasti manusia tidak boleh terlalu bergantung dengan vaksin kerana pada masa akan datang, pandemik mungkin menular lebih cepat berbanding penghasilan vaksin.