fbpx

Padah infak RM100 bantu aktiviti Daesh, dua rakan sekampung dipenjara dua tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Tindakan dua rakan sekampung memberi bantuan kewangan RM100 bagi tujuan melakukan aktiviti keganasan
di Indonesia, tiga tahun lalu menemui padah apabila Mahkamah Tinggi di sini menjatuhkan hukuman penjara dua tahun terhadap
mereka.

Muhammad Syazani Mahzan (penjual burger) dan Muhamad Nuurul Amin Azizan (petani) turut berkunjung ke negara itu untuk mempelajari cara-cara membuat bahan letupan selain mengaku memberi wang tersebut untuk diinfakkan kepada pengganas bertujuan menghasilkan senjata api.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin menjatuhkan hukuman penjara dua tahun terhadap kedua-dua lelaki berusia 29 tahun itu
berkuatkuasa dari tarikh mereka ditangkap pada 14 Mei 2019.

Mereka mengaku bersalah terhadap pertuduhan pilihan mengendalikan secara tidak langsung harta pengganas iaitu dengan cara memberi bantuan kewangan RM100 (setiap seorang) kepada warga Indonesia, Fatoni Amin Tohari.

Wang itu diserahkan kepada seorang rakyat tempatan, Mohd Izham Razani untuk disalurkan ke dalam akaun Bank Rakyat Indonesia milik Agus Riyadi bagi tujuan melakukan aktiviti keganasan.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di BFC Exchange Malaysia Sdn. Bhd. yang beralamat di Jalan Kampung Baru, Sungai Petani, Kedah, kira-kira pukul 4.29 petang pada 6 Mac 2018.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 130Q Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda
dan boleh dilucuthak mana-mana harta tersebut.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Izhanudin Alias dan Mohd Farhan Aliff Ahmad manakala kedua-dua tertuduh diwakili oleh peguam Tan Teck Yew.

Menurut fakta kes, siasatan polis mendapati kedua-dua tertuduh telah berhubung dengan lelaki Indonesia bernama Agus Melasi Alm
Ridwan atau dikenali sebagai ‘Abad Kawa’ melalui aplikasi ‘Telegram’ sekitar bulan Februari 2018 dan Abad Kawa telah merekrut tertuduh untuk berjihad serta menyertai kumpulan
pengganas Daesh.

Abad Kawa telah menghantar melalui Telegram kepada Muhammad Syazani berkenaan cara-cara pembuatan bom yang diperolehi melalui
sebuah buku tutorial ‘Kursus Peledakkan’ tulisan Abu Khabbab al-Misri dalam format PDF, dan tertuduh serta Mohd Izham kemudian
telah membuat dan menguji bom tersebut iaitu Improvised Explosive Device (IED) jenis Triacetone Triperoxide (TATP) sehingga
membuahkan hasil.

Sekitar Mac 2018, Abad Kawa telah meminta bantuan kewangan daripada Muhammad Syazani dan Mohd Izham untuk memberikan
dana kepada Fatoni atau dikenali sebagai ‘Abu Tony’ kerana Abu Tony memerlukan dana untuk membuat senjata api buatan sendiri
yang akan digunakan untuk menyerang penjara bagi membebaskan tahanan pengganas di Jakarta.

Pada 6 Mac 2018, tertuduh telah bersetuju untuk mengutip wang sebanyak RM100 setiap seorang untuk disumbangkan kepada Abu
Tony.

Melalui rakaman percakapan di bawah Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah, mereka telah mengaku berkongsi memberi dana tersebut
sebagai infak kepada Abu Tony.

Menurut siasatan, Abu Tony telah ditangkap pada 19 Jun 2018 kerana menerima dana sebanyak satu juta rupiah untuk membantu
kesemua tertuduh yang juga ahli kumpulan Telegram Jihad Nyata untuk membuat senjata jenis pistol.- K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI