fbpx
GAMBAR HIASAN

Hargai pengorbanan pemain badminton

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
MUHAMMAD HELMEE RAMLI, WARTAWAN EKSEKUTIF

SELURUH dunia kini kembali berada dalam keadaan berjaga-jaga selepas virus Covid-19 dilihat te­rus ‘mengganas’ memandangkan angka jangkitan semakin mening­kat setiap hari.

Justeru, beberapa negara se­perti Jepun, Australia dan Thailand mula mengambil langkah keselamatan dengan melaksanakan perintah berkurung di lokasi-lokasi berisiko tinggi.

Tidak hairanlah sekiranya ada sesetengah orang enggan keluar daripada rumah masing-masing kerana masih fobia dan takut dengan ancaman virus berbahaya itu.

Bagaimanapun, masih ada beberapa kelompok yang mengambil risiko bagi menjalankan tanggungjawab masing-masing termasuk petugas-petugas barisan hadapan.

Selain itu, atlet-atlet negara juga tidak terkecuali berdepan dengan risiko Covid-19 apabila perlu menjalani latihan selain menyertai pertandingan di luar negara.

Ketika ini, pemain-pemain badminton negara sedang menggalas misi negara pada kejohanan badminton Sirkit Asia yang akan berlangsung di Bangkok, Thailand bermula esok.

Lebih menggerunkan, kerajaan Thailand sudah pun melaksanakan perintah berkurung di Bangkok selepas kes jangkitan Covid-19 di kawasan itu kembali melonjak.

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) sehingga semalam, Thailand merekodkan sebanyak 9, 841 kes positif Covid-19 dengan 67 kematian.

Meskipun pihak penganjur sudah mengambil langkah berjaga-jaga serta menetapkan prosedur operasi standard (SOP) yang sa­ngat ketat, namun pemain-pemain negara mengakui tetap bimbang dengan keadaan di sana.

Pemain beregu campuran profesional negara, Goh Liu Ying berkata, situasi kali ini cukup berbeza jika dibandingkan de­ngan sebelum ini memandang­kan mereka perlu berdepan ba­nyak prosedur yang ketat.

“Ini adalah kejohanan pertama selepas lama berehat dan saya akui agak sukar kerana perlu serahkan banyak dokumen. Mereka benar-benar mahu pastikan semuanya selamat.

“Kalau tanya perasaan saya, sangat berbeza dengan keadaan sebelum ini. Secara jujur, saya tak boleh fikir mengenai kejohanan kerana takut dengan keadaan semasa,” kata pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu.

Selain itu, mereka bukan sahaja perlu mematuhi SOP ketika berada di tempat awam, namun termasuk di gelanggang ketika menjalani latihan, terutamanya dari segi penjarakan fizikal.

Difahamkan, semua pemain yang menyertai kejohanan tersebut perlu menjalani beberapa ujian calitan bagi memastikan mereka sentiasa berada dalam keadaan sihat.

“Memang mereka (Thailand) sudah buat perintah berkurung di sini tetapi kami semua duduk di hotel sahaja. Kami mungkin perlu jalani ujian calitan lagi selepas ini bagi memastikan ke­selamatan,” tambah Liu Ying.

Pemain-pemain badminton negara wajar diberi penghargaan atas keberanian serta kesanggupan berdepan risiko Covid-19 meskipun mereka mempunyai pilihan untuk tidak menyertai kejohanan tersebut.

Difahamkan, beberapa negara termasuk China, Jepun selain pemain-pemain tertentu sudah pun menarik diri daripada kejohanan tersebut kerana masih bimbang dengan pandemik Covid-19.

Oleh itu, peminat-peminat badminton tanah air perlu memberi sokongan penuh kepada wira-wira negara yang sedang menggalas tanggungjawab besar di Bangkok.

BERITA BERKAITAN