fbpx

Johor Bahru, Kota Tinggi kembali dilanda banjir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan air melimpah di sekitar Taman Daiman Jaya, Kota Tinggi, Johor, baru-baru ini.

JOHOR BAHRU – Daerah Johor Bahru kembali dilanda banjir dalam tempoh kurang 24 jam dengan merekodkan seramai 268 mangsa daripada 106 keluarga setakat ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R. Vidyananthan berkata, setakat pukul 4 petang tadi, sebanyak sembilan pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di daerah ini.

Beliau berkata, pertambahan kes tersebut menyebabkan jumlah keseluruhan mangsa banjir di negeri ini meningkat kepada 1,251 mangsa daripada 382 mangsa.

“Antara kawasan yang terjejas disebabkan banjir di Johor Bahru melibatkan Kampung Laut, Kampung Sepakat, Simpang Mados, Batu 20 Sungai Tiram dan Kampung Sentosa Damai.

“Turut terjejas ialah penduduk di Kampung Sentosa Barat, Kampung Paya Kenangan, Kampung Pasir, Kampung Kangkar Tebrau dan Lorong Aris Batu 8, Skudai. Kita juga sedang mengemas kini jumlah mangsa banjir di kawasan yang lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Vidyananthan berkata, jumlah PPS di Kota Tinggi juga turut bertambah kepada 10 PPS yang menempatkan 569 mangsa daripada 165 keluarga.

Katanya, antara PPS yang baharu dibuka ialah di Dewan Kampung Muhibbah, Sekolah Kebangsaan (SK) Semanggar, SK Felda Air Tawar 1 dan Dewan Kampung Baru Sungai Mas.

Tambahnya, jumlah mangsa banjir di Mersing dan Segamat tidak menunjukkan peningkatan kekal dengan 94 mangsa di Segamat dan 320 mangsa di Mersing.

“Ramalan cuaca Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menunjukkan amaran cuaca bahaya iaitu hujan sangat lebat dijangka berterusan di beberapa daerah di negeri ini sehingga esok.

“Amaran cuaca bahaya itu melibatkan daerah Batu Pahat, Kluang, Pontian, Kulai Kota Tinggi dan Johor Bahru,” katanya.

Setakat ini, Jalan Felda Semenchu dekat sini dan Jalan Tanah Abang di Mersing ditutup sepenuhnya bagi semua kenderaan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI