fbpx

29 individu ditahan dalam serbuan dua pusat hiburan di Manjung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dadah yang dirampas dalam serbuan di dua buah pusat hiburan di Manjung semalam. Foto: Ihsan PDRM

IPOH – Seramai 29 pengunjung termasuk seorang lelaki warga Vietnam ditahan dalam serbuan Op Pusat Hiburan di dua buah premis di Manjung semalam.

Serbuan pada pukul 8.30 malam itu dijalankan oleh sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, individu yang ditahan berusia 22 hingga 44 tahun termasuk tujuh wanita itu dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung untuk saringan air kencing dan tindakan lanjut.

Katanya, daripada kesemua mereka, lapan lelaki dan dua wanita serta seorang lelaki warga Vietnam positif dadah methamphetamine dan ketamin.

“Pihak polis merampas 23 peket plastik berisi dadah jenis ketamin, 43 biji pil estacy, 10 biji pil eramin dan enam peket plastik berisi bahan disyaki dadah.

“Rampasan menerusi serbuan kedua itu membawa kepada penahanan seorang lelaki dan wanita yang masing-masing disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya di sini.

Menurut beliau, pihak polis turut mengeluarkan 24 kompaun di bawah Peraturan 12, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020 kerana gagal mematuhi penjarakan fizikal.

Katanya, dua lelaki yang dipercayai penjaga pusat hiburan turut ditahan di bawah Seksyen 6(1) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 1997 Perak kerana menjalankan perniagaan hiburan tanpa lesen yang sah.

“Polis menasihatkan semua pengusaha pusat hiburan supaya tidak sesekali membenarkan premis mereka dijadikan tempat pengedaran dan penyalahgunaan dadah.

“Tindakan tegas terhadap pengusaha yang masih berdegil akan diambil serta mencadangkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk membatalkan lesen yang dikeluarkan,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI