fbpx

Dua Lipa layak bergembira

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DUA LIPA

DIA mula dikenali dunia sejak lagu berjudul New Rules diluncurkan beberapa tahun sudah. Selepas meledak dengan album perdana yang memuatkan lagu hit tersebut, sesetengah orang mungkin skeptikal bahawa wanita bernama Dua Lipa itu hanya akan bertahan untuk beberapa ketika atau dilekatkan dengan frasa ‘one hit wonder’.

Nampaknya sangkaan tersebut meleset apabila Lipa, 25, terus bertaring dengan penghasilan album keduanya Future Nostalgia. Album yang memuatkan 11 trek tersebut merupakan antara diskografi kegemaran global, termasuk penulis dek kualiti yang luar biasa.

Future Nostalgia terus merelevansikan nama Lipa di pentas dunia dengan beberapa lagu popular seperti Don’t Start Now, Break My Heart dan Physical yang cukup mesra di bibir peminat.

Tahun 2020 sudah terpahat antara tahun paling mencabar buat penduduk dunia namun buat Lipa, dia mampu membenarkan senyuman daripada wajahnya apabila menghadirkan kejayaan demi kejayaan dalam kalendar seninya.

Bagaimana dia berjaya lakukannya? Jawab Lipa kepada majalah Vogue Britain: “Dengan kerja saya, saya akan selalu kata, okey, apa seterusnya?”

SEBAGAI orang seni, ada ketikanya Dua Lipa merasakan, dia tidak perlu memberikan definisi siapa sebenarnya dia sebagai seorang manusia.

Impak Future Nostalgia

Lipa mendedahkan, mulanya dia berasa gusar untuk menzahirkan album berentak disko yang beroreintasikan zaman 1970-an hingga 1990-an namun intuisinya kuat mengatakan dia hanya perlu berbuat sesuatu untuk peminat.

“Saya juga berdepan konflik dengan diri sendiri sama ada itu saat yang tepat untuk melakukan sesuatu yang cukup mencabar. Ramai orang sedang menderita dengan Covid-19,” kata penyanyi kelahiran London, England itu.

Lipa bukan sahaja seorang penyanyi yang membuta tuli mengikut telunjuk komposer, dia tahu apa yang ingin dicernakan dalam penghasilan sesebuah karya. Biarpun lirik sesebuah lagu berunsurkan kesedihan, namun Lipa menyerikannya dengan rentak yang rancak.

“Saya perlu melawan syaitan dalam diri. Saya sentiasa ingin tulis lagu sedih, tentang patah hati sebab menulis lagu gembira hanya akan membuatkan karya menjadi tangkap leleh.

“Saya perlu lawan itu kerana saya rasa macam ‘saya gembira dan saya layak untuk berasa gembira’. Saya patut mampu menulis tanpa rasa khuatir untuk menunjukkan diri saya yang sebenar kerana saya bukan menangis untuk orang atau benda lain,” ujar Lipa.

Untuk rekod, Future Nostalgia merupakan album penyanyi wanita Britain yang paling banyak distrim dalam tempoh sehari.

Album tersebut pantas melahirkan tiga hit iaitu Don’t Start Now, Physical dan Break My Heart yang berjaya menduduki tangga Top 10.

Artis wanita kelahiran Britain yang kali terakhir menyamai rekod tersebut ialah Vera Lynn pada 1952, dan Lipa melakukannya dengan album yang menduduki tangga pertama di negara tersebut.

Bercakap tentang peribadi, Lipa sangat berahsia tentang hubungan cintanya dengan Anwar Hadid yang merupakan adik-beradik kepada mogul permodelan dunia iaitu Gigi dan Bella.

PADA tahun 2020, album kedua Dua Lipa, Future Nostalgia menjadi album penyanyi wanita Britain yang paling banyak distrim dalam masa sehari.

Kekasih Anwar Hadid

Kata Lipa, dia sudah berpacaran dengan Anwar lebih dari setahun.

Pada musim panas tahun lalu, hubungan mereka menjadi lebih manis kerana mengambil seekor anak anjing yang diselamatkan dari jalanan sebagai anak angkat.

“Kami namakannya Dexter. Kami mempunyai banyak memori indah bersama dan kalau ada sesuatu yang ingin kami kongsi dengan orang ramai, okey, kami akan kongsikannya.

“Namun buat masa sekarang, biarlah perhubungan kami ini, hanya kami sahaja yang tahu dan itu amat menyeronokkan,” katanya lagi.

Sesekali Lipa akan berkongsi gambar intim dengan Anwar dalam Instagram. Namun dia mempunyai alasan tersendiri mengapa hanya ‘sesekali’.

“Kami amat berahsia. Kami hanya akan tunjukkan apa yang kami rasa anda perlu tengok. Sedikit demi sedikit dan pada masa yang sama, kami sedang mencari keseimbangan antara keterujaan dan menikmati indahnya percintaan.

“Senang cerita, saya mahu berkongsi berita gembira dan bahagia dengan orang sekeliling tetapi pada masa sama tidak mahu terlalu menonjol. Saya mahu berasa bahagia tanpa sibuk dengan pandangan orang,” tuturnya.

DALAM soal cinta bersama Anwar Hadid, Dua Lipa hanya berkongsi apa yang khalayak patut tahu tentang mereka.

Seperti manusia biasa, Lipa juga tidak terlepas daripada melakukan khilaf.

Apatah lagi bekerja sebagai seorang anak seni yang senang larut dengan sepak terajang yang begitu mengesankan.

Dia juga mempunyai hubungan yang rumit dengan internet. Biarpun Don’t Start Now merupakan antara lagu popular dalam TikTok, dia juga berdepan banyak kecaman.

Pada tahun lalu, tular dalam Twitter tanda pagar #dualipaisoverparty berhubungn video tarian ‘panas’nya di sebuah kelab malam. Namun, apa yang sudah dilalui semestinya kian mematangkan dirinya sebagai anak seni.

“Saya selalu hadir ke sesi wawancara dan orang akan tanya macam mana saya berdepan dengan rasa benci yang dilontarkan khalayak.

“Sebagai orang seni, saya tidak memberi definisi siapa saya sebenarnya sebagai seorang manusia.

“Ada masanya, saya seperti tidak patut berdepan dengan semua kecaman. Namun lama-kelamaan, saya fikir ini semua adalah harga yang perlu saya bayar sebagai seorang artis.

“Ingin saya tegaskan juga, orang yang rapat dengan saya tahu keperibadian sebenar saya. Hidup saya di rumah sama sahaja seperti manusia biasa lain,” ujar Lipa yang menerima enam nominasi pada Grammy Awards 2021 yang dijadual berlangsung Mac depan.

DUA LIPA diramal menang besar pada acara Grammy Awards 2021 yang dijadualkan berlangsung pada Mac depan.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI