fbpx

Tujuh operator air dari enam negeri hantar air terawat ke Pahang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara lori tangki air yang digerakkan ke Pahang bagi membekalkan air bersih kepada mangsa banjir di negeri itu. FOTO Ihsan SPAN

PUTRAJAYA – Kementerian Alam Sekitar dan Air (Kasa) memaklumkan sebanyak 17 lori tangki agihan air terawat membabitkan tujuh operator air digerakkan ke Pahang sejak semalam bagi membekalkan air bersih kepada mangsa banjir di negeri itu.

Menterinya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) menyelaras bantuan air terawat berkenaan ke lokasi yang terjejas di Pahang.

Beliau berkata, sebanyak 14 Loji Rawatan Air di Pahang tidak dapat beroperasi akibat banjir menyebabkan lebih kurang 35,000 akaun terjejas membabitkan 176,000 pengguna.

“Alhamdulillah, sebanyak 17 lori tangki telah digerakkan semalam agar rakyat mendapat bekalan air bersih,” katanya menerusi perkongsian di laman Facebooknya hari ini.

Sementara itu, SPAN dalam kenyataan akhbar berkata, bekalan air terawat itu dibekalkan oleh Pengurusan Air Selangor (Air Selangor), Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS), Ranhill SAJ (RSAJ), Syarikat Air Darul Aman (SADA), Syarikat Air Melaka Bhd. (SAMB), Lembaga Air Perak (LAP) dan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP).

Menurutnya, projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) SPAN di Kampung Sempadan, Jerantut, Pahang sebelum ini sedikit sebanyak membantu penduduk setempat kekal mempunyai akses terhadap air bersih ketika berhadapan situasi laluan keluar dan masuk terhalang akibat banjir.

“Marilah kita sama-sama membantu dengan berikhtiar dan berdoa agar situasi banjir akan kembali pulih di negeri-negeri terbabit dan mangsa banjir sentiasa berada di dalam keadaan selamat dan sejahtera.

“SPAN dan rakan operator air komited dalam memastikan kelangsungan bekalan air terawat kepada pengguna seboleh mungkin kekal dibekalkan melalui kerjasama erat antara satu dengan yang lain terutama di waktu mencabar seperti banjir,” jelas kenyataan itu.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI