fbpx

Pemilik taska goncang bayi kekal dijel 5 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nurul Shahidatul Afzan Zainal (kiri) bersama salah seorang peguamnya Clement Ng Yen Han sebelum Mahkamah Rayuan memutuskan keputusan.

PUTRAJAYA – Perbuatan seorang pemilik taska yang menggoncang bayi perempuan dengan kuat sehingga menyebabkan pendarahan dalam otak dan mata sembilan tahun lalu, berakhir apabila dia kekal dihukum penjara lima tahun oleh Mahkamah Rayuan di sini hari ini.

Keputusan itu dibuat selepas panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Abdul Karim Abdul Jalil menolak rayuan akhir Nurul Shahidatul Afzan
Zainal, 37, selaku perayu dalam kes tersebut.

Hakim lain yang turut bersidang ialah Datuk Vazeer Alam Mydin Meera dan Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali.

Panel itu kemudian mengeluarkan perintah komital agar hukuman penjara terhadap Nurul Shahidatul Afzan dikuatkuasakan bermula hari ini termasuk mengekalkan perintah Mahkamah Majistret yang mengarahkan perayu membayar pampasan RM40,000 kepada keluarga mangsa.

Dalam penghakimannya, Hakim Abdul Karim berkata, kesemua elemen dalam pertuduhan telah dibuktikan termasuk niat untuk menganiaya
mangsa dengan cara menggoncangnya dengan kuat sehingga menyebabkan kecederaan.

Panel tersebut juga berpendapat, wujud keterangan mencukupi di bawah Seksyen 426(1)(a) Kanun Tatacara Jenayah yang membolehkan majistret mengeluarkan perintah agar perayu membayar pampasan RM40,000 atau penjara 12 bulan jika gagal membayarnya.

Mengikut pertuduhan Nurul Shahidatul Afzan, didakwa melakukan penganiayaan kepada seorang bayi perempuan, yang ketika itu berusia tiga bulan, dengan menggoncangnya dengan kuat sehingga menyebabkan pendarahan dalam otak dan mata di sebuah pusat jagaan di USJ, Subang Jaya pukul 5.23 petang 24 Februari 2012.

Berikutan itu pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Sebelum ini ketika perbicaraan berlangsung, keterangan kes antara lain menyatakan, pada hari kejadian seorang pengasuh telah memandikan bayi berkenaan dan menyerahkannya kepada perayu untuk diberi susu.

Namun demikian, bayi itu enggan meminumnya sambil menangis menyebabkan perayu menggoncangnya beberapa kali dengan kuat sehingga tubuhnya menjadi lembik dan tidak sedarkan diri sebelum dibawa ke hospital.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI