fbpx

Guru didakwa beri rasuah bulanan kepada polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Norimi ( tengah )didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini kerana memberikan rasuah bulanan kepada pegawai dan anggota polis dengan nilai keseluruhan RM9,000.

SHAH ALAM – Seorang guru sekolah rendah di daerah ini didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas enam pertuduhan memberikan rasuah secara bulanan berjumlah RM9,000 kepada pegawai dan anggota polis agar tidak mengambil tindakan terhadap pekerja asingnya antara 2019 dan 2020.

Tertuduh, Norimi Hashim, 40, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Norimi sebagai pemilik syarikat pembekalan tenaga kerja asing memberikan rasuah kepada pegawai berpangkat Asisten Superintendan (ASP) yang bertugas di Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor dan dua sarjan masing-masing yang bertugas di Shah Alam.

Pemberian secara berperingkat berjumlah RM9,000 dibuat menerusi akaun bank Umi Group Resources dan Umi Aqief Enterprise, syarikat milik tertuduh.

Perbuatan itu sebagai balasan supaya tidak mengambil tindakan terhadap pekerja warga asing yang tidak mempunyai dokumen perjalanan diri yang sah mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63.

Kesalahan dilakukan di sebuah bank di Wisma Anggerik, Jalan Perbahan 26/2 Hicom Industrial Park di sini bermula 7 Mac 2019 sehingga 15 Jun 2020.

Tertuduh yang merupakan ibu tunggal kepada dua orang anak itu didakwa mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sementara itu, Norimi juga boleh dipenjara sehingga 15 tahun atau denda atau kedua-duanya mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan untuk pertuduhan pilihan.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Fadhli Ab. Wahab menawarkan jaminan RM30,000 bersama seorang penjamin bagi semua pertuduhan dengan syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah selain melaporkan diri setiap awal bulan setiap bulan.

Peguam Mohd. Yusri Mohd. Yusoff memohon jaminan dikurangkan kepada RM10,000 berikutan anak guamnya menanggung anak berusia tujuh dan 10 tahun selepas berpisah dengan bekas suaminya.

Mahkamah menetapkan jaminan RM20,000 bersama seorang penjamin dan membenarkan syarat tambahan pihak pendakwaan.

Tarikh sebutan semula kes pada 1 Februari depan. -K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI