fbpx

Aset strategik KDN diatur gerak bantu mangsa banjir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Seramai 8,653 pegawai serta anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) daripada enam kontinjen terlibat dalam bantuan operasi banjir di negeri-negeri terjejas termasuk Selangor, Perak, Johor, Pahang, Kelantan dan Terengganu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, sebanyak 1,329 aset kenderaan PDRM telah diatur gerak termasuk 164 bot, 42 van, 13 ambulans dan tiga bus.

“Selain itu, seramai 1,662 anggota RELA dikerahkan untuk membantu mangsa banjir di negeri tersebut dan ditugaskan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

“Sebanyak 59 aset kenderaan RELA Malaysia telah diatur gerak melibatkan 23 kenderaan utiliti sukan (SUV), kenderaan darat pacuan 4 roda (tujuh),  lori (dua), kenderaan pelbagai guna (MPV) (lapan), sedan (10) dan van (sembilan),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hamzah berkata, aset-aset strategik seperti pesawat udara AW 139 dan bot-bot peronda milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bersedia untuk diatur gerak bagi operasi membantu dan menyelamatkan mangsa banjir dengan koordinasi bersama pihak NADMA, terutamanya bagi kegunaan di negeri-negeri yang terjejas teruk seperti Johor dan Pahang.

“Manakala aset-aset awam seperti bas, lori dan trak berkapasoti besar milik Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) juga akan dilibatkan dalam operasi-operasi banjir di seluruh negara,” katanya.

Sementara itu, Hamzah berkata, bagi membantu memudahkan urusan mangsa banjir yang kehilangan dokumen-dokumen pengenalan diri seperti kad pengenalan dan sijil kelahiran, Unit Bergerak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) telah digerakkan ke kawasan-kawasan pedalaman.

“Melalui Unit Bergerak JPN, mangsa-mangsa banjir tidak perlu lagi hadir ke cawangan JPN negeri masing-masing untuk memohon dokumen tersebut,” katanya.

Hamzah berkata, KDN ingin mengingatkan orang ramai supaya patuh kepada arahan pihak berkuasa bagi melancarkan operasi bantuan dan menyelamat mangsa-mangsa banjir.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat berhubung situasi banjir boleh menghubungi Pusat Kawalan Malaysia (MCC) PDRM di talian 03-2266 3333 atau 03-2266 3444. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI