fbpx

RM2.2 juta diperlukan baiki jalan rosak di Chikus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Jalan Besar Chikus yang menghubungkan Attaduri ke Chikus rosak teruk akibat arus deras hari ini.

TELUK INTAN – Sebanyak RM2.2 juta peruntukan diperlukan bagi membaik pulih laluan A149 Jalan Besar Chikus yang menghubungkan Attaduri ke Chikus yang rosak teruk akibat banjir.

Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad berkata, penilaian kerosakkan membabitkan sebahagian struktur laluan yang rebak akan dilakukan jabatan terlibat sebelum sebarang kerja-kerja pembaikan dijalankan.

Katanya, pembaikan struktur laluan itu akan diberi keutamaan kerana ia merupakan laluan utama penduduk setempat.

“Untuk kerosakan (akibat banjir), kita ada jabatan-jabatan teknikal seperti jurutera JKR (Jabatan Kerja Raya) dan JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran) di mana dengan kepakaran mereka akan membuat penilaian.

“Saya dimaklumkan, sejumlah RM2.2 juta diperlukan bagi membaiki laluan itu. Bagaimanapun, kita tunggu dahulu penilaian oleh jabatan-jabatan terlibat,” katanya ketika ditemui selepas melawat mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) di sini hari hari ini.

Terdahulu Saarani turut melawat laluan yang rosak selain PPS di Dewan Serbaguna Chikus dan SK Sri Langkap di sini.

Menurut beliau, kerosakan struktur laluan tersebut ekoran air Sungai Batang Padang terlalu deras hingga menyebabkan tanah rebak dan menjejaskan laluan.

“Kejadian banjir di sini sudah tentu menyebabkan banyak kerosakkan dan memerlukan perbelanjaan, jadi kita tunggu penilaian oleh jabatan-jabatan ini bagi memastikan kejadian sama tidak berulang,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin berkata, laluan yang rosak itu menghubungkan penduduk di 60 buah kampung berhampiran untuk ke Pekan Langkap.

Katanya, laluan yang memendekkan masa dari Pekan Langkap ke Teluk Intan itu juga digunakan lebih 4,000 kenderaan setiap hari.

“Kita mengharapkan sokongan kerajaan negeri agar kerja-kerja baik pulih jalan itu disegerakan.

“Keadaan ini akan menjejaskan sosio ekonomi kalau ditutup dalam jangka masa panjang,” katanya.

Beliau turut mengharapkan agar jalan yang siap dibina pada 30 April 2009 itu siap dibaik pulih tahun ini. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI