fbpx

Penjenayah miliki 12 rekod lampau maut ditetak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota polis lengkap berpakaian PPE mengangkat mayat seorang lelaki dengan kesan tetakan di badan dalam kejadian di Tanjung Rambutan, Ipoh. Foto - ZULFACHRI ZULKIFLI

IPOH – Seorang lelaki yang mempunyai 12 rekod jenayah lampau ditemui mati dengan beberapa kesan tetakan pada badan di kawasan belukar berhampiran sebuah kuil di Tanjung Rambutan di sini hari ini.

Mayat lelaki berusia 34 tahun itu ditemui orang awam yang mahu memikat burung di kawasan berkenaan dalam keadaan berlumuran darah dengan pergelangan tangan kanan hampir putus pada pukul 11.30 pagi.

Lelaki yang tidak bekerja itu mempunyai 12 rekod jenayah lampau termasuk dua kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan serta beberapa kes jenayah lain.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz berkata, siasatan awal mendapati, kejadian dipercayai berlaku disebabkan pertengkaran antara si mati dengan sekumpulan lelaki.

Katanya, pergaduhan antara mereka dikatakan berpunca selepas lelaki itu tidak berpuas hati apabila adiknya ditahan bagi satu kes di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan membunuh.

“Pada 11 November lalu, berlaku kes cubaan membunuh seorang lelaki di mana kita telah menahan tujuh individu dengan dua daripadanya telah dituduh di mahkamah.

“Berikutan kes itu, si mati dipercayai tidak berpuas hati adiknya dikaitkan dalam kejadian tersebut dan pergi ke lokasi kejadian iaitu sebuah pondok yang dijadikan ‘port’ menghisap dadah.

“Si mati juga merupakan orang dikehendaki oleh pihak polis. Dia memang antara sasaran kita untuk ditahan bagi kes sebelum ini (Seksyen 307 Kanun Keseksaan) namun dia menghilangkan diri,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.

Menurut beliau, pertengkaran antara si mati dan kumpulan terbabit menyebabkan dia diserang dengan menggunakan sebilah parang sepanjang 60 sentimeter.

Katanya, si mati dipercayai cuba melarikan diri namun rebah kira-kira 30 meter dari pondok tersebut.

“Kejadian dipercayai berlaku pada pukul 7.30 petang semalam berdasarkan keadaan mayatnya semasa dijumpai. Mangsa cedera parah dengan beberapa kesan tetakan pada belakang badan dan tangan.

“Pemeriksaan di lokasi menjumpai parang yang digunakan dalam kejadian itu. Mayat si mati dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat,” katanya.

Tambahnya, beberapa suspek telah dikenal pasti dan usaha mengesan mereka sedang dijalankan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI