GEORGE TOWN – Keghairahan sekumpulan geng rempit mempamerkan kehandalan menunggang motosikal ala ‘Superman’ pada malam Tahun Baru 2021 akhirnya memakan diri apabila mereka dikepung polis di Jalan Pantai Seagate, Lebuh Raya Tun Dr. Lim Chong Eu di sini awal pagi tadi.
Mereka antara lebih 40 penunggang motosikal dan pembonceng diberkas dalam satu operasi khas yang dijalankan sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya kira-kira pukul 4.30 pagi.
Dalam operasi tersebut, polis terlebih dahulu mengepung di laluan menghala ke pusat bandar George Town dan bulatan Bayan Baru dari arah Batu Maung sejurus kumpulan motosikal terbabit bertindak melarikan diri sebaik menyedari kehadiran kereta peronda dari arah pusat bandar.
Kesemua penunggang dan pembonceng lelaki serta wanita yang ditahan kemudiannya diarah menolak motosikal masing-masing sejauh lima kilometer hingga ke Balai Polis Bayan Baru.
Sumber polis berkata, kesemua yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 termasuk menjalankan ujian saringan air kencing.
Maklumat lanjut berkaitan operasi berkenaan akan menyusul kemudian. – K! ONLINE














