fbpx

Bicara dalam talian elak penangguhan kes

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TENGKU MAIMUN.

KUALA LUMPUR – Badan kehakiman komited memberikan akses keadilan kepada orang awam ketika musim pandemik Covid-19 dengan melaksanakan perbicaraan dalam talian dalam usaha mengelakkan penangguhan terutama kes sivil.

Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat berkata, perbicaraan dalam talian bagi kes sivil adalah terhad kepada persetujuan pihak-pihak berbalah yang mana tanpa persetujuan itu, kes akan ditangguhkan sehingga didengar di mahkamah terbuka.

Bagaimanapun, menurut beliau, dalam kes-kes jenayah, terdapat kesukaran untuk mendengar kes melalui teknologi komunikasi jarak jauh kerana hak untuk satu perbicaraan yang adil memerlukan kehadiran tertuduh dalam prosiding tersebut.

“Pada awalnya para peguam terutama peguam kanan kurang memberi sokongan terhadap perbicaraan dalam talian atas alasan kononnya wujud ketidakupayaan untuk mendapatkan suatu perbicaraan yang adil dan kehilangan kemahiran kepeguaman,” ujar beliau dalam satu kenyataan hari ini ketika menyampaikan amanat Tahun Baru.

Jelas Tengku Maimun, hal ini menjadi lebih sukar dengan ketiadaan kerangka perundangan yang secara jelas membenarkan perbicaraan dalam
talian.

Ujarnya, bagi mengatasi kesulitan ini, badan kehakiman telah mengusulkan pindaan tertentu terhadap Akta Mahkamah Kehakiman 1964, Akta
Mahkamah Rendah 1948 dan Akta Kaedah-kaedah Mahkamah Rendah 1955 bagi membolehkan perbicaraan secara jalan talian dijalankan dengan meluas.

Menurut Tengku Maimun, Parlimen telah meluluskan pindaan yang memperuntukkan kuasa secara nyata bagi menjalankan perbicaraan secara dalam talian yang mana undang-undang ini mula berkuat kuasa 22 Oktober lalu.

Ujar Ketua Hakim Negara, Kaedah-kaedah Mahkamah 2012, Kaedah-kaedah Mahkamah Persekutuan 1995 dan Kaedah-Kaedah Mahkamah Rayuan 1994 telah dipinda berkuat kuasa 15 Disember lalu untuk mengawal selia dan menetapkan tatacara berhubung dengan pengendalian perbicaraan
secara dalam talian.

Beliau turut mengumumkan pencapaian Mahkamah Majistret dan Mahkamah Sesyen di seluruh Malaysia bahawa daripada 12,733 kes untuk pendengaran dalam talian, 5,659 kes telah dilupuskan.

Sementara di Mahkamah Tinggi di Malaya dan di Sabah dan Sarawak pula daripada 7,544 kes yang ditetapkan untuk perbicaraan dalam talian sejumlah 5,663 kes dilupuskan.

Tengku Maimun turut mengumumkan rancangan badan kehakiman untuk tahun hadapan iaitu mendigitalkan proses pengakuan bersalah dalam kes kesalahan lalu lintas dan membenarkan pembayaran denda secara elektronik.

Jelas beliau, pada masa ini terdapat mekanisme dalam seksyen 137 Kanun Tatacara Jenayah yang membolehkan seseorang yang dituduh untuk mengaku bersalah melalui surat yang mana majistret dibenarkan mengecualikan kehadiran tertuduh ketika mensabitkannya dan menjatuhkan hukuman denda sahaja.

Ujarnya, badan kehakiman mencadangkan agar penerimaan pengakuan bersalah dan menjatuhkan hukuman denda sahaja dibenarkan melalui sistem elektronik yang ditetapkan bagi mengurangkan kesesakan Mahkamah Majistret.

Dalam kenyataan itu, Tengku Maimun turut memaklumkan bahawa acara tradisi badan kehakiman iaitu penganjuran Pembukaan Tahun Perundangan tidak akan dilaksanakan tahun ini kerana pandemik Covid 19.- K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI