fbpx

Tok penghulu, empat rakan dicekup positif dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

ALOR GAJAH – Seorang penghulu dan empat rakannya dicekup selepas dipercayai terlibat dalam penyalahgunaan dadah dalam satu serbuan di sebuah rumah di Kampung Paya Datok, Alor Gajah di sini semalam.

Dalam serbuan kira-kira pukul 2.50 petang itu, kesemua mereka berusia antara 48 hingga 63 tahun ditangkap ketika sedang melepak di luar kediaman tersebut.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri, Superintendan Zulkiflee Rashid berkata, serbuan dibuat oleh Cawangan Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah selepas menerima maklumat awam.

“Hasil serbuan seorang penghulu dan empat rakannya ditahan selepas kesemua mereka didapati positif dadah.

“Turut ditemui di atas meja di luar rumah rakannya itu adalah kira-kira 15 liter disyaki air ketum di dalam 15 bungkus plastik lutsinar,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini, hari ini.

Tambahnya, pemeriksaan lanjut di belakang rumah terbabit menemukan sebanyak 20 pokok ketum ditanam.

“Salah seorang suspek yang tinggal di rumah berkenaan juga mengakui telah merebus daun-daun ketum itu bagi mendapatkan airnya.

“Dia kemudian secara sukarela telah mencantas kesemua pokok ketum berkenaan sebelum mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Gajah untuk siasatan lanjut,” katanya.

Ujarnya, semakan lanjut turut mendapati penghulu terbabit mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah pada 2015.

Katanya, keempat-empat suspek kini direman selama empat hari sehingga 2 Januari depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI