fbpx

PKPB buat Pasar Warisan Seremban kurang sambutan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SYED Azlan (kanan) menawarkan barangan dan pakaian terpakai untuk dibeli pengunjung di Pasar Warisan Seremban baru-baru ini.

SEREMBAN – Walaupun ada yang menganggap ia lusuh dan tidak bernilai, namun barangan terpakai dan antik pasti mempunyai peminatnya sendiri.

Di bandar ini, Pasar Warisan Seremban yang terletak di Jalan Pasar merupakan lubuk kepada peminat-peminat barangan antik untuk mencari barang yang dihajati mereka.

Dibuka pada setiap hari Ahad seawal pukul 7 pagi, Pasar Warisan Seremban menempatkan puluhan peniaga barangan antik dan kraftangan terdiri daripada pelbagai bangsa.

Seorang peniaga, Shamsuddin Abdul Rahman, 61, berkata, dia sudah berniaga di pasar berkenaan sejak dua tahun lalu dan mengakui barangan antik mempunyai golongan peminatnya sendiri.

“Saya mencari barang terpakai dan antik di kampung-kampung dan menjelajah ke beberapa negeri termasuk Melaka untuk mencari barang-barang unik seperti keris lama dan beg.

“Kemudiannya saya menjual semula pada setiap hujung minggu di pasar berkenaan. Barangan tersebut akan dijual selepas mengambil kira kos dan keuntungan sedikit, biasanya akan ada proses tawar menawar sebelum kedua-dua pihak iaitu penjual dan pembeli berpuas hati,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Namun begitu, jelas Shamsuddin, sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) terutama di daerah Seremban, jualan barangan terpakai dan antiknya dilihat kurang memberangsangkan.

“Kalau dahulu boleh dapat dalam RM100, sekarang nak dapat untung RM50 hingga RM60 pun susah. Kadang-kadang untung sekadar boleh lepas duit untuk makan sahaja,” katanya yang merupakan bekas buruh binaan.

Sementara itu, seorang lagi peniaga, Syed Azlan Syed Abdullah, 66, berkata, dia terpaksa mempelbagaikan barangan jualannya bagi memberi pilihan kepada pembeli.

“Saya lihat Pasar Warisan Seremban ini sangat menarik, apatah lagi saya boleh jumpa ramai peminat barangan terpakai yang mahu mencari barangan-barangan seperti itu.

“Namun, saya akui sekarang agak sukar untuk dapatkan untung walau RM60 sehari kerana pendapatan rakyat dan ekonomi sekarang tidak menentu,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI