fbpx
PENYANYI Ayda Jebat dan Nabil Mahir akan bergelar suami isteri pada 1 Januari, Jumaat ini.

Nabil, Ayda nak anak 13 orang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Bakal melangsungkan pernikahan Jumaat ini, pasangan selebriti Ayda Jebat dan Nabil Mahir bercadang untuk memiliki 13 orang anak.

Nabil atau nama sebenarnya, Ahmad Nabil Ahmad Mahir berkata, 13 orang anak kerana angka berkenaan merupakan angka kegemarannya.

“Saya anak bongsu daripada dua orang adik-beradik, manakala Ayda pula ada 10 orang adik-beradik. Jadi, 13 orang anak kalau dikurniakan rezeki macam itu, memang mimpi jadi kenyataan.

“Tetapi sejujurnya, kalau dapat anak ramai macam mana pun, apa yang penting anak kami nanti sihat walafiat. Tak kisahlah satu, dua atau 13 sekalipun,” katanya secara berseloroh kepada Kosmo! Online ketika majlis pelancaran single terbaharu Ayda berjudul Parah Parah sebentar tadi.

Dalam pada itu, ditanya tentang perancangan keluarga, Ayda berkata, dia belum berfikir tentang perkara itu. Kalau sudah tertulis rezeki untuknya menimang cahaya mata segera, dia bersedia.

“Saya tidak mempunyai masalah untuk menimang cahaya mata cepat atau lambat.

“Kalau sudah rezeki, saya bersedia untuk bergelar ibu. Lagipun, saya bukan makin lama makin muda. Nabil pun macam itu. Lagipun, kami memang suka budak-budak,” katanya.

Menurut Ayda, majlis pernikahan yang dijadualkan berlangsung pada 1 Januari (Jumaat ini) akan diadakan secara sederhana di sebuah masjid di ibu negara.

“Dalam keadaan sekarang, saya tak bercadang untuk adakan majlis secara besar-besaran. Lebih baik bersederhana saja dan saya tak terkilan pun.

“Apa yang penting adalah perkara wajib iaitu majlis akad nikah dapat disempurnakan dengan baik. Kami hanya buat pernikahan di masjid yang hanya akan dihadiri kurang 50 tetamu,” ujarnya,

Terdahulu pasangan itu mengikat tali pertunangan pada 28 April lalu menerusi aplikasi Google Meet bagi mematuhi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). – K! ONLINE