fbpx

Nur Aimi sedar, dipindahkan ke wad biasa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
A. Asmadi.

IPOH – Ibu kepada tiga kanak-kanak yang maut dalam kemalangan di Kilometer 272.5 Lebuh Raya Utara Selatan arah utara berhampiran Taman Rekreasi Gunung Lang di sini dua minggu lalu kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz berkata, Nur Aimi Nadiah Abdul Rahim, 27, yang kritikal akibat nahas tersebut kini sudah mampu bercakap selepas hampir dua minggu menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini.

“Mangsa kini ditempatkan di wad biasa bagi tujuan pemantauan dan dia dilaporkan dalam keadaan stabil serta sudah boleh bercakap.

“Polis sedang menunggu masa yang sesuai untuk mengambil keterangan mangsa mengenai kejadian yang menimpa mereka,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah A. Asmadi, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut mengenai kejadian tersebut dan beberapa saksi di lokasi pada hari kejadian juga telah dirakam keterangan bagi membantu siasatan.

Kosmo! pada 17 Disember lalu melaporkan, dalam kejadian tersebut, tiga beradik lelaki menemui ajal selepas kereta Perodua Axia yang dipandu ibu mereka merempuh sebuah lori.

Dalam kejadian kira-kira 2.45 petang itu, tiga beradik yang maut ialah Muhammad Adam Hakimi Muhammad Alhafiz, 7, dan dua adiknya, Muhammad Lutfi Hakim, 3, serta Muhammad Affan Hafiy berusia setahun yang tersepit di dalam kereta yang remuk tersebut.

Ibu mereka, Nur Aimi Nadiah pula cedera parah akibat kemalangan berkenaan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI