fbpx

Hantu di Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
MOHAMAD AZLAN JAAFAR
PENGARANG KUMPULAN MEDIA MULIA

Semasa kecil, emak selalu menggunakan ‘hantu’ untuk menakutkan kita supaya balik sebelum Maghrib. Jangan keluar masa senja. Nanti disorok hantu. Ia menjadi amalan masyarakat Melayu.

Sehingga hari ini ‘penakutan’ sama digunakan orang Melayu.

Hantu, langsuir, toyol, pontianak, pocong, jembalang dan makhluk halus menjadi sebahagian kepercayaan masyarakat Melayu.

Pokok besar dikatakan ada penunggu dan dipuja. Kawasan perkuburan dikatakan mempunyai ‘hantu’ tersendiri. Kawasan hutan ada ‘penghuninya’ sendiri dan tidak boleh diusik.

Rumah yang ditinggalkan dikatakan ‘keras’. Ketika masuk hutan, ada pantang larangnya.

Walaupun pantang larang lama Melayu berbaur kuno, kebanyakan masa ia ada matlamat akhir yang mahu dicapai. Tetapi kepercayaan kepada hantu wujud sejak zaman manusia purba.

Ia bukan eksklusif kepada sesuatu kaum atau masyarakat. Kehadiran dan kepercayaan kepada makhluk halus dan kuasa ghaib wujud dalam semua masyarakat di serata dunia.

Ia diperkukuh layar perak dengan pelbagai filem dan rancangan drama. Kebanyakan filem seperti ala ala ‘hantu kak limah’ mendapat sambutan menggalakkan. Maka berduyun filem sama dikeluarkan.

Di barat, filem hantu klasik Poltergeist menjadi fenomena. Kejayaan filem ini kerana ia dapat memenuhi keperluan masyarakat yang sentiasa cuba mempercayai sesuatu selain kekuasaan pencipta yang satu.

Keperluan naluri ini memudahkan pihak tertentu seperti ‘tok bomoh palsu’ mengambil kesempatan terhadap mereka yang mudah tertipu.

Baru-baru ini heboh kisah ‘hantu ketuk’. Dari Sabak Bernam ia merebak ke Johor, Negeri Sembilan, Pahang dan beberapa kawasan lain di Selangor.

Kini ia dilaporkan di Pulau Pinang. Rakaman televisyen litar tertutup menunjukkan tiada siapa di pintu tetapi masih terdengar ketukan.

Berita ‘hantu ketuk’ menjadi sensasi, sama mendapat perhatian seperti kisah cinta Neelofa. Mulalah kisah seperti hantu susu yang pernah dilaporkan.

Agama tidak pernah menidakkan kewujudan syaitan dan jin. Pengamal rawatan Islam sendiri mengesahkan keperluan mengukuhkan naluri daripada pengaruh syaitan yang sentiasa cuba memesongkan jiwa.

Pendakwah Islam sentiasa cuba memastikan masyarakat tidak terpesong daripada ajaran Islam dalam kegilaan mempercayai ‘kehadiran hantu’.

Semoden mana dunia ini, era digital, internet dan maklumat pantas, kehendak naluri mempercayai ‘hantu dan perkara tahyul’ akan kekal dalam masyarakat.

Keperluan bagi merasionalisasikan sesuatu yang tidak dapat dijelaskan oleh sains dan akal. Keperluan terus percaya kepada sesuatu bagi mengisi ruang kosong. Manusia sentiasa cuba memenuhi diri agar sentiasa penuh.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI