fbpx

[VIDEO] Lari daripada polis akibat positif dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar menunjukkan seorang anggota polis trafik cuba memberhentikan kenderaan suspek yang cuba melanggar pihak berkuasa dengan memecahkan cermin menggunakan topi keledar.

PETALING JAYA – Takut diberkas susulan berada dalam pengaruh dadah, seorang lelaki dan wanita nekad melarikan diri sejauh lima kilometer selepas kenderaan yang dinaiki mereka diarahkan berhenti untuk pemeriksaan polis di Jalan Gurney, Kuala Lumpur kelmarin.

Kejadian berlaku pada pukul 4.45 petang ketika kedua-dua suspek menaiki pacuan empat roda jenis Nissan Frontier itu dilihat dalam keadaan mencurigakan sebelum diarahkan berhenti untuk pemeriksaan oleh sepasukan polis yang melakukan rondaan keselamatan di jalan tersebut.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Rajab Ahad Ismail berkata, pihak polis cuba menahan kenderaan dipandu lelaki berusia 26 tahun bersama seorang wanita berusia 24 tahun, namun suspek itu memecut laju kenderaannya ke arah Jalan Tun Razak sebelum terperangkap dalam kesesakan lalu lintas.

Katanya, anggota polis menuju ke arah kenderaan tersebut tetapi suspek cuba melanggar anggota berkenaan menyebabkan dia terpaksa melepaskan satu das tembakan ke arah tayar belakang kenderaan itu bagi memberhentikannya.

“Bagaimanapun, suspek meneruskan pemanduan secara melulu ke arah pusat bandar sebelum cuba melanggar anggota polis trafik yang datang membantu pasukan sedia ada.

“Dalam perjalanan itu, suspek juga melanggar beberapa buah kenderaan sebelum berjaya ditahan di hadapan Lot 10, Bukit Bintang akibat terperangkap dalam kesesakan lalu lintas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya lagi, hasil siasatan mendapati kedua-dua cuba melarikan diri daripada ditahan polis susulan berada dalam pengaruh dadah.

Jelas beliau, hasil ujian air kencing mendapati kedua-dua mereka positif dadah jenis syabu dan ganja.

“Pemeriksaan dalam kenderaan yang dinaiki mereka, kita menemui satu buku lima dan semakan lanjut mendapati suspek lelaki itu mempunyai 10 rekod lampau berkaitan dadah, pecah rumah dan curi.

“Kedua-dua suspek kini direman selama lima hari sehingga 29 Disember ini untuk siasatan lanjut,” ujarnya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 186 akta yang sama, Seksyen 45(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 6 (1) Akta Bahan Kakisan, Letupan serta Senjata Berbahaya 1958 bagi kesalahan memiliki buku lima besi.

Terdahulu tular satu rakaman video berdurasi 15 saat menunjukkan seorang anggota polis trafik memecahkan cermin sebuah pacuan empat roda menggunakan topi keledar selepas pemandu itu cuba melanggar pihak berkuasa yang menahannya.- K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI