fbpx
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa, Jagdeep Singh Deo (dua dari kanan) menyerahkan kunci unit bencana yang disediakan kerajaan negeri kepada keluarga S.Ganesh di PPR Padang Tembak, Pulau Pinang.

Keluarga tinggal dalam kereta dapat rumah PPR

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN – Selepas lapan bulan ‘berumah’ di dalam kereta Proton Iswara, S. Ganesh, 34, isteri, Parameswari, 32, dan tiga anak mereka kini menarik nafas lega apabila permohonannya untuk menduduki unit Projek Perumahan Rakyat (PPR) kerajaan negeri diluluskan.

Ganesh bersama keluarganya akan tinggal buat sementara waktu di unit bencana di PPR Padang Tembak, di sini sehingga unit PPR di blok berhampiran selesai dibaiki.

Menurut pengawal keselamatan di sebuah sekolah itu, dia gembira apabila isteri dan tiga anak mereka berusia antara enam tahun hingga 8 bulan tidak lagi perlu bersesak serta berhimpit di dalam kereta setiap hari.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang telah membantu keluarga saya.

“Kami amat terharu apabila semua pihak tanpa mengira latar belakang telah membantu saya dan anak-anak,” katanya ketika ditemui di PPR Padang Tembak di sini hari ini.

Kosmo! sebelum ini menyiarkan kisah Ganesh dan keluarganya yang terpaksa tinggal di dalam kereta jenis Proton Iswara sejak lapan bulan lalu selepas kediaman mereka musnah terbakar.

Lima beranak berkenaan juga menggunakan bekalan air di tandas-tandas awam untuk membersihkan diri serta memasak untuk anak-anak mereka.

Kelmarin, penceramah terkenal, Ustaz Ebit Lew yang meluangkan masa menziarahi keluarga berkenaan dan membantu menyewa sebuah rumah sebelum permohonan Ganesh untuk menduduki unit PPR diluluskan. – K! ONLINE