fbpx

Pelajar antarabangsa dibenar masuk tahun depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ismail Sabri

PETALING JAYA – Pelajar antarabangsa kecuali dari Britain yang menuntut di Institusi Pendidikan Swasta (IPS) kini diberi kebenaran untuk masuk ke dalam negara bermula tahun hadapan menerusi satu sidang khas yang diadakan semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kebenaran tersebut diberi kepada pelajar melibatkan Pusat Bahasa, Pusat Kemahiran, Pusat Latihan, Pusat Tuisyen dan Pusat Perkembangan Minda yang berdaftar dengan Kementerian Pendidikan (KPM).

“Kemasukan pelajar ini akan diuruskan oleh pihak Education Malaysia Global Services (EMGS) dan perlu mengikuti garis panduan serta prosedur yang telah ditetapkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dari semasa ke semasa.

“Kebenaran ini akan berkuatkuasa bermula 1 Januari depan dan hanya tertakluk kepada pelajar sedia ada yang telah diluluskan permohonan dan telah mendapat visa dari JIM,”katanya pada sidang akhbar harian hari ini.

Tambah beliau, pelajar yang ingin masuk ke dalam negara perlu melakukan ujian saringan Covid-19 tiga hari sebelum berlepas ke Malaysia dan sekali lagi setibanya di pintu masuk negara selain dikuarantin.

Jelas beliau, kos ujian calitan Covid-19 serta kuarantin perlu ditanggung oleh pelajar berkenaan.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata sidang khas yang diadakan semalam turut bersetuju untuk membenarkan pergerakan kapal-kapal Non-Convention Ships (NCS) untuk aktiviti ‘transhipment’ yang berkuatkuasa sehingga 15 Januari 2021 bagi penghantaran lambakan baki stok barangan sedia ada di gudang-gudang di pelabuhan Sandakan dan Tawau.

“Kerajaan Sabah sebelum ini tidak membenarkan kapal-kapal NCS untuk memasuki perairan Sabah bagi tujuan barter trade dan transhipment sebagai langkah menyekat penularan Covid-19 di negeri itu.

“Walaubagaimanapun, MKN Sabah memaklumkan terdapat keperluan untuk membenarkan pergerakan kapal-kapal NCS bagi aktiviti ‘transhipment’ sahaja bagi penghantaran lambakan baki stok barangan sedia ada,” ujar beliau. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI