fbpx

Lima syarikat kenderaan berat didakwa bawa muatan melebihi had

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DUA daripada lima pemilik syarikat pengendali kenderaan berat didakwa membawa muatan melebihi berat yang dibenarkan di Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini.

KOTA BHARU – Lima pengendali syarikat kenderaan berat didenda RM83,000 selepas mengaku bersalah atas lima pertuduhan berasingan membawa muatan melebihi berat yang dibenarkan di Mahkamah Sesyen Kota Bharu di sini hari ini.

Kesemua pemilik syarikat membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Shahrul Rizal Majid.

Mengikut pertuduhan, syarikat pertama, didakwa melakukan kesalahan tidak mematuhi syarat lesen pengendali dengan membawa muatan batu melebihi berat sebanyak 16,310 kilogram (kg) atau 68 peratus daripada berat maksimum yang dinyatakan iaitu 24,000 kilogram.

Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 9.55 pagi pada 11 April tahun lalu di Kampung Pek, Machang

Bagi kesalahan syarikat kedua, lori milik seorang lelaki telah membawa muatan kayu balak melebihi berat sebanyak 31, 750 kg iaitu 72.2 peratus daripada berat maksimum yang dinyatakan pada permit kenderaan.

Perbuatan itu dilakukan kira-kira 3.10 petang pada 29 Mei tahun lalu di Kampung Laloh, Kuala Krai.

Syarikat ketiga pula didakwa melakukan kesalahan membawa muatan jentera melebihi berat sebanyak 28,370 kg iaitu 55.6 peratus daripada berat maksimum yang dinyatakan dalam permit iaitu 51,000 kg.

Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 9 pagi pada 6 Mei tahun lalu di Bukit Jawa, Pasir Puteh.

Bagi syarikat keempat, pengendali itu didakwa melakukan kesalahan membawa muatan atap melebihi berat sebanyak 6,200 kg iaitu 74.7 peratus daripada berat maksimum yang dibenarkan iaitu 8,300 kg.

Lori itu ditahan kira-kira pukul 9.30 pagi pada 26 Mei tahun lalu di Jalan Selising-Bukit Abal, Pasir Puteh.

Sementara itu, syarikat kelima melakukan kesalahan apabila lori membawa muatan debu batu melebihi berat sebanyak 117, 740 kg iaitu 230.9 peratus daripada berat maksimum yang dinyatakan iaitu 51,000 kg.

Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 1.50 petang pada 14 Julai lalu di Chabang Tiga Telosan-Wakaf Linchong, Pasir Puteh.

Kelima-lima syarikat didakwa mengikut Seksyen 57 (1)(b)(vi) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715) yang boleh dihukum di bawah Sekyen 57 (3) Akta yang sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda tidak kurang daripada RM1,000 dan tidak melebihi daripada RM 500,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Shahrul Rizal menetapkan syarikat pengendali kenderaan berat pertama didenda sebanyak RM16,000, RM13,000 (syarikat kedua), RM10,000 (syarikat ketiga dan keempat) dan RM34,000 (syarikat kelima).

Pendakwaan dikendalikan oleh Ketua Unit Pendakwaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri, Nor Aiman Mayidin manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Kelima-lima pemilik syarikat pengendali kenderaan berat itu membayar denda yang ditetapkan oleh mahkamah.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI