fbpx

Datuk Ahmad Tamimi Siregar nasihatkan pelakon baharu jangan kayu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DATUK AHMAD TAMIMI SIREGAR

PETALING JAYA – Seniman veteran, Datuk Ahmad Tamimi Siregar meluahkan rasa sedih terhadap sikap sebilangan pelakon baharu yang tidak mempunyai bakat lakonan tetapi mengharapkan bayaran tinggi daripada pihak produksi.

Menurut Tamimi, 70, rata-rata daripadanya menjadikan jumlah pengikut dalam media sosial sebagai kayu pengukur kepada tahap populariti sekali gus menuntut bayaran tidak munasabah.

Kata beliau, keadaan sebegini dilihat tidak adil bagi bayaran kru belakang tabir kerana kebanyakan daripada mereka mengharapkan aktiviti penggambaran sebagai mata pencarian utama.

“Apa yang saya lihat setiap hari semakin ramai pelakon baharu yang muncul. Memang bagus untuk menghiasi industri tetapi sayang apabila ada antara mereka yang tidak mempunyai mutu lakonan. Berlakon macam kayu.

“Saya sedih melihat kru yang berhempas pulas di set penggambaran tetapi pelakon baharu buat kerja sambil lewa. Harapkan popular tetapi berlakon entah apa-apa.

“Kadang-kala meminta bayaran sehingga mencecah RM14,000 untuk sebuah telefilem dan ada juga puluhan ribu dengan alasan mereka adalah pilihan stesen televisyen dan mempunyai pengikut yang ramai dalam media sosial,” katanya kepada Kosmo! Online.

Tambah beliau, perkara tersebut sekadar luahan pendapat sebagai pelakon senior dan mengharapkan pelakon baharu saling bertimbang rasa akan nasib tenaga kerja lain yang turut menyumbang tenaga terutama dalam keadaan pandemik Covid-19.

“Saya bukan ingin mengeluh tetapi apabila sudah bercerita, saya hanya meluahkan pendapat kerana bimbang perkara ini dilihat seperti tiada solusi.

“Sepertinya adat industri hiburan tempatan semakin berumur semakin dilupakan. Semakin tua, semakin rendah bayaran. Bagi pelakon veteran yang menjadikan bidang lakonan sebagai sumber pencarian utama, situasi ini lebih memilukan,” jelas pelakon filem Ratu Kala Jengking: Puteri Keranda itu.

Dalam perkembangan lain, Tamimi menjelaskan beliau kini bergiat aktif dengan melakukan aktiviti memanjat gunung sebagai salah satu terapi kesihatan.

Akuinya, aktiviti yang telah menjadi rutinnya sejak sebulan lalu telah banyak membantu dalam mengurangkan kesakitan terutama pada bahagian lutut dan pinggang.

“Awalnya saya rasa takut untuk terlibat dalam aktiviti sebegitu kerana dirasakan tidak sesuai dan mencabar untuk tahap kesihatan saya yang mempunyai masalah jantung.

“Tetapi setelah mencuba, saya merasakan tubuh badan semakin sihat dan tidak perlu lagi bergantung kepada ubat tahan sakit,” tuturnya.

Pada masa sama, aktiviti tersebut juga secara tidak langsung membantunya mengatasi kesedihan atas pemergian isteri, Datin Zulhaila Siregar Sulaiman, 64, ke rahmatullah pada Mei lalu kerana menghidap penyakit paru-paru obstruktif kronik (COPD).

Menganggap ia sebagai satu kehilangan, Tamimi memilih untuk menyibukkan diri dengan pelbagai aktiviti lakonan, pengarahan dan memanjat gunung agar beliau tidak membiarkan diri larut dalam emosi sedih. – K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI