fbpx

Persetujuan dibuat setelah ujian klinikal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kerajaan Malaysia memilih untuk menandatangani perjanjian pembelian awal dengan syarikat farmaseutikal Pfizer pada 24 November lalu adalah berdasarkan kepada laporan interim ujian klinikal dan mempunyai tahap keberkesanan 95 peratus dalam mencegah Covid-19.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata, laporan hasil keberkesanan vaksin Covid-19 dikeluarkan Pfizer juga telah diterbitkan di The New England Journal of Medicine pada 10 Disember lalu dan Kerajaan turut mendapat akses data untuk menilai kualiti, keselamatan dan tahap keberkesanannya.

“Vaksin ini juga telah mendapat Emergency Use Authorization daripada tujuh negara termasuklah United Kingdom, Amerika Syarikat, Bahrain, Kanada, Arab Saudi, Mexico dan Singapura.

“Bagaimanapun, keputusan pembelian akhir serta penggunaan vaksin tersebut di Malaysia adalah tertakluk kepada pendaftaran dan kelulusan daripada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Kementerian Kesihatan.

“Proses ini telah bermula dan semua data yang dibekalkan oleh pihak Pfizer akan diteliti oleh NPRA. Bekalan vaksin ini dijangka akan mula diterima pada suku pertama tahun hadapan merangkumi 12.8 juta dos bagi menampung keperluan imunisasi 20 peratus atau 6.4 juta rakyat,” katanya dalam sesi waktu pertanyaan menteri di sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Lim Guan Eng (PH-Bagan) yang memintanya menyatakan tentang kos, keberkesanan dan liputan penduduk untuk vaksin Pfizer, khususnya tempoh imuniti.

Mengulas lanjut, Khairy berkata kerajaan juga menubuhkan Jawatankuasa Khas Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) dengan objektif untuk memastikan bekalan vaksin Covid-19 diperoleh dengan segera, selamat dan sempurna.

Khairy berkata, JKJAV yang dipengerusikan oleh beliau sendiri ditubuhkan bertujuan menyediakan rangka kerja dan pelan perolehan serta pengagihan vaksin Covid-19 apabila ia diluluskan untuk kegunaan di Malaysia.

“Selain vaksin Covid-19 daripada syarikat Pfizer, Malaysia juga telah menyertai fasiliti COVAX yang menjamin akses bekalan vaksin sebanyak 10 peratus populasi negara,” katanya. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI