fbpx

Pelajar rugi RM4,870 ditipu pembelian PS5

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Noorzainy

SEBERANG PERAI – Seorang penuntut sebuah universiti swasta yang teruja untuk menjadi orang terawal memiliki alat permainan video, PlayStation 5 (PS5) terpaksa menggigit jari apabila bukan sahaja tidak memperoleh alat permainan itu, bahkan wang simpanan sebanyak RM4,870 lesap selepas dipercayai ditipu sindiket semalam.

Mangsa, lelaki berusia 18 tahun dari Butterworth di sini terjerat dalam penipuan itu selepas dia melihat iklan penjualan PS5 berkenaan menerusi aplikasi beli-belah online.

Difahamkan, alat permainan konsol popular itu mula dilancarkan bagi pasaran di negara ini bermula kelmarin.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, mangsa telah menghubungi peniaga alat permainan itu menerusi aplikasi WhatsApp kelmarin untuk bertanya lebih lanjut.

“Dia tertarik kerana suspek menawarkan harga lebih murah berbanding pasaran dan teruja selepas melihat gambar-gambar yang dikirimkan.

“Mangsa yang dijanjikan menerima PS5 itu dalam masa sehari tanpa berfikir panjang telah membuat pembayaran sebanyak RM3,351 ke dalam akaun diberikan suspek,” katanya kepada pemberita hari ini.

Noorzainy berkata, keesokan harinya mangsa menerima panggilan daripada individu mendakwa pihak perkhidmatan penghantar barang yang memaklumkan ada bungkusan untuknya dari luar negara, namun perlu membayar RM1,519 sebelum pelepasan dibuat.

“Dia telah membuat pembayaran itu, namun hanya menyedari ditipu selepas sindiket terbabit berterusan meminta bayaran sehingga dia kehabisan wang.

“Mangsa telah mengalami kerugian RM4,870 dan tidak memperoleh PS5 itu,” katanya lagi.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI