fbpx

Detik cemas dikacau penunggu Villa Nabila

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR Villa Nabila yang kini usang dirakam dari sebelah sisi di atas sebuah bukit di Jalan Ismail Sultan, Johor Bahru. – RAJA JAAFAR ALI

VILLA Nabila, sebuah banglo yang dibina sejak 40 tahun lalu terletak di atas bukit di Jalan Ismail Sultan, Johor Bahru, Johor memiliki cerita mistiknya tersendiri.

Apabila bercerita tentang mahligai usang itu, pastinya terlintas difikiran kejadian yang menggemparkan tujuh tahun lalu apabila seorang remaja dilaporkan hilang setelah menceroboh kawasan larangan tersebut.

Heboh menjadi bualan di media sosial tentang kejadian misteri, pelbagai teori mistik yang dikeluarkan, malah ada yang mengatakan bahawa remaja lelaki berkenaan disorok di alam lain.

Bagaimanapun, segala tanggapan itu jauh meleset setelah pelajar sekolah berusia 16 tahun itu ditemui di rumah rakannya di Flat Taman Desa Mutiara, kira-kira 15 kilometer dari banglo yang dikatakan ‘berhantu’ itu.

Ramai yang berang apabila misteri itu terungkai tiga hari selepas kejadian itu kerana berasakan diri tertipu kisah tular itu. Tak kurang juga yang berasa kecewa kerana mengangkat reputasi vila terbiar itu sebagai lokasi berhantu yang pernah dinamakan antara lokasi menyeramkan di Malaysia.

Mengimbau kembali sejarah mistik di Villa Nabila, terdapat pelbagai versi diperkatakan masyarakat setempat tentang hingga bangunan usang berusia hampir empat dekad itu mempunyai reputasi tersebut hingga menarik minat pengkaji aktiviti paranormal.

Antara versi yang cukup popular adalah vila itu mendapat nama sempena kelahiran anak perempuan keluarga kaya yang juga pemilik mahligai tersebut yang bernama Nabila.

Dikhabarkan berlaku kisah tragis di kediaman mewah itu apabila mereka dirompak dan semua penghuni rumah tersebut dibunuh penjenayah. Nabila dikatakan dirogol terlebih dahulu sebelum dibunuh dan mayatnya disimen dalam dinding rumah.

Bagi versi lain pula, diceritakan bahawa bapa Nabila mengamuk dan menembak semua penghuni sebelum membunuh dirinya sendiri.

Satu lagi versi mengatakan ibu tiri Nabila berdendam anak gadis bernama Nabila mewarisi harta peninggalan bapanya. Ekoran itu, ibu tiri terbabit bertindak membunuh Nabila dan menanam mayatnya di dinding sebelum melarikan diri bersama harta itu.

 

SEBAHAGIAN bangunan Villa Nabila yang boleh dilihat ketika melalui Jalan Ismail Sultan

 

Oleh kerana tidak ada sumber yang boleh mengesahkan perkara itu, maka pelbagai cerita ditokok-tambah dan dicanang kepada umum disebarkan membabitkan kediaman usang itu.

Panorama menjejaki remaja yang dilaporkan hilang di vila berhantu itu, Mohamad Izzat Izzudin Hussin, yang kini berusia 23 tahun bagi mendapatkan pengalamannya pada hari-hari terakhir berada tempat tersebut sebelum dikunci dan tidak lagi boleh dikunjungi kini.

Mohamad Izzat atau lebih mesra disapa Ijat membongkarkan segala yang berlaku di kediaman terbiar seakan peristiwa itu masih segar di benak fikirannya.

Ketika jam menunjukkan pukul 12.30 tengah malam, dia bersama 27 rakan serta seorang remaja yang baru sahaja dikenali berjalan kaki dari pusat bandar menuju ke Villa Nabila.

Walaupun terpaksa meredah semak samun dan jalan berliku dalam keadaan gelap, hanya dipandu cahaya lampu telefon bimbit.

Biarpun mengetahui pelbagai kisah misteri dan dan mistik di tempat tersebut, ia tidak menghalang sekumpulan anak muda itu menceroboh tempat tersebut.

Kehadiran mereka dalam jumlah terlalu ramai menyebabkan keadaan sukar dikawal, keseronokan menguasai diri dan bertindak di luar kebiasaan.

Ijat memberitahu, seorang kenalannya terjumpa sebuah peti di bawah tangga. Ujarnya, kerana rasa ingin tahu dia mengambil peti kayu yang tidak diketahui pemiliknya itu.

Katanya, setelah puas meneroka banglo terbiar itu hampir di setiap sudutnya, mereka memilih untuk keluar daripada kawasan tersebut dengan mendaki bukit menerusi jalan belakang vila berkenaan.

“Ketika hendak keluar daripada kawasan itu, seorang remaja perempuan menegur rakan lain setelah terlihat kelibat di sebatang pokok berhampiran.

“Remaja itu menuding jarinya ke arah pokok berkenaan. Tidak semena-mena, dia meracau-racau seakan kena rasuk. Bermula daripada situ, kami ‘diganggu’ apabila seorang demi seorang diserang histeria,” katanya.

 

IBU kepada remaja yang pernah hilang ketika berada di Villa Nabila, Norhayati Mohamad mencium pipi anaknya, Mohamad Izzat Izzudin sebagai mengimbau kembali peristiwa pahit yang pernah menimpa keluarga tersebut pada tahun 2013.

 

Tidak tahu apa yang perlu dilakukan, Ijat memberitahu, mereka hanya memainkan video bacaan ayat al-Quran dan azan di YouTube.

Katanya, setelah melalui pengalaman menakutkan itu, mereka nekad meninggalkan tempat itu, namun sekali lagi terkena ‘gangguan’ penunggu di situ.

“Ketika kami semua sudah melangkah keluar, ada seorang remaja perempuan lain tidak berganjak, masih berada di pekarangan banglo itu dan matanya terkelip-kelip.

“Dia tidak memberi sebarang respons apabila ditegur hanya berdiri terpaku. Ketika dihampiri, dia tiba-tiba rebah dan tidak sedarkan diri,” katanya.

Setelah berada di jalan besar, ada yang terus pulang ke rumah, hanya kami bertujuh masih bersama melepak di kedai makan sebelum berehat di surau berhampiran.

Tambahnya, ketika sedang baring di surau, seorang rakan yang dipanggil Black tiba-tiba meracau dan mulut terkumat-kamit seperti bercakap sesuatu.

“Apa yang saya ingat, dia cakap ‘aku nak barang aku’. Itu sahaja. Kehadiran kami di surau itu disedari anggota polis yang kemudian menghalau kami dari situ,” ujarnya.
Ijat berkata, selepas kejadian itu, dia tidak pernah lagi menjejakkan kaki ke Villa Nabila.

“Buat masa sekarang, saya membantu keluarga berniaga di kedai tidak jauh dari rumah. Saya juga sudah terputus hubungan dengan rakan lain dan tidak tahu di mana mereka sekarang,” katanya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI