fbpx

[VIDEO] Cinta? Saya baru 15 tahun – Cik B

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
CIK B

DIA memulakan langkah dalam bidang seni pada tahun 2020 dengan gelombang yang sukar dinafikan impaknya. Dari dunia lakonan, kemudian terus memahat nama sebagai penyanyi, si anak dara mogul kosmetik, Cik B tiba-tiba meledakkan sensasi.

Remaja berusia 15 tahun itu ternyata mempunyai pesona tersendiri. Sehingga artikel ini dinukilkan, single perdananya Tolonglah masih trending nombor satu dalam YouTube. Terdahulu, dia memahat nama sebagai pelakon dalam drama rantaian, Lelaki Lingkungan Cinta.

Dilihat hidup dalam limpahan kemewahan, realitinya Cik B atau nama sebenarnya, Nur Edlynn Zamileen Muhammad Amin juga sama seperti remaja lain yang dahagakan kasih sayang.

Itu satu perihal yang tidak dapat dinafikan puteri kesayangan jutawan kosmetik, Datuk Seri Vida.

Ceritanya ketika ditemui Pose pada sesi fotografi khas di ibu pejabat Media Mulia baru-baru ini, biarpun membesar tanpa kasih sayang secukupnya daripada seorang lelaki bernama ayah, dia kuat merentasi segala cabaran pada usia yang sangat hijau.

“Mama (panggilan untuk ibunya Vida) sudah cukup sempurna buat saya. Dialah bapa, dialah kakak saya, dialah kawan saya. Dia segala-galanya buat saya.

“Mama seorang wanita yang sangat kuat dan rajin bekerja. Dia tidak pernah mengeluh penat bekerja.

“Biarpun dia selalu bersolek tebal, dia sentiasa mengutamakan apa yang utama sebagai seorang Islam iaitu solat dan berdoa,” kata Cik B yang lahir pada tanggal 19 Mei 2005.

DEDAH Cik B, dia menjadikan ibunya, Datuk Seri Vida sebagai idola. Dia tidak perlu bergantung dengan mana-mana orang terutama golongan lelaki untuk berasa bahagia.

‘Ada ke artis yang buruk’

Ketika bertemu empat mata dengan Cik B, dia seorang yang sangat tenang dan merendah diri.

Sesekali, bicaranya memecahkan tawa sekali gus menghilangkan kekok saat berdepan banyak pertanyaan penulis.

Cik B seorang penggemar muzik rap dan hip hop, begitu juga penulis. Begitu pun, pengkarya yang diminatinya menjurus terhadap pemuzik yang bergiat secara underground, sedangkan penulis cenderung terhadap muzik arus perdana.

Meredakan suasana, Cik B sempat menyanyikan lagu berjudul Mimpi dendangan asal, K-Clique. Lebih menarik, Cik B melakukan ‘beatboxing’ sementara penulis menyambung nyanyiannya secara suka-suka.

Seperti bertubinya lirik Mimpi, ‘hidup aku bagai mimpi, betul-betul macam mimpi’, barangkali itulah yang dirasai Cik B yang bergelar anak kepada seorang mogul kosmetik.

Khalayak barangkali melihat dirinya hidup bertatahkan emas sedangkan ada beberapa hal yang sukar digapainya.

Pertama, dia lali meladeni ejekan sekeliling yang memandang kecantikan luaran sebagai perkara utama.

“Saya tak macam orang lain. Mereka semua cantik. Tetapi apa yang saya ada adalah personaliti dan aura.

“Ada ke artis yang buruk? Saya rasa macam saya seorang sahaja yang buruk. Tetapi saya unik dan itu yang membuatkan saya menyerlah berbanding orang lain,” tutur Cik B bersahaja.

CIK B menjelaskan, dia dan Aniq tidak mempunyai hubungan istimewa. Malahan, Aniq tidak menepati ciri-ciri lelaki idamannya.

Rindu arwah abang

Kedua, dia rindukan abangnya yang begitu awal dijemput Ilahi, tujuh tahun lalu.

Kerinduan buat dua abangnya, Muhammad Eddie Zuhdie dan Muhammad Edrie Zikrie yang meninggal dunia dalam kejadian kebakaran, tiga hari sebelum menyambut Hari Raya Aidilfitri pada 2013 tidak pernah padam dalam ingatannya.

“Saya rindukan arwah abang saya. Kehilangan mereka takkan dapat saya temui lain melainkan di syurga nanti.

“Kalau mereka masih hidup, pasti mereka sudah berjaya dan pada masa sama, bangga dengan saya sekarang,” kata Cik B.

Menyentuh tentang hubungan dengan bapa kandungnya, Mohd. Amin Yasin, 42, pula gadis yang mempunyai lebih 700,000 pengikut dalam Instagram itu memaklumkan, walau apa pun yang berlaku, lelaki itu tetap bapanya.

“Saya sebenarnya trauma dengan apa yang berlaku semasa kecil. Dia tetap bapa saya, namun saya tidak boleh lupakan apa yang berlaku. Mungkin saya sudah memaafkan namun tidak boleh lupa.

“Kalau boleh saya tak mahu buka aib bapa. Saya anggap dia sudah tiada. Saya sahaja tahu apa yang sudah dia lakukan kepada mama. Dia pun sudah ada keluarganya sendiri. Saya, mama, dan

Kacak juga bahagia dengan kehidupan kami tanpanya di sisi,” luahnya.

JARANG bertemu dengan bapa kandungnya, Cik B tetap bersyukur dengan realiti hidupnya namun sentiasa mendoakan yang terbaik buat si bapa dan keluarganya. – Muhamad Iqbal Rosli

Wayang

Digosipkan bercinta dengan pelakon muda, Aniq Suhair, Cik B menepis dakwaan konon-kononnya dia mempunyai hubungan istimewa dengan lelaki berusia 21 tahun itu.

Katanya, apa yang berlaku sehingga mencetuskan kontroversi dalam sosial media sekadar wayang untuk drama lakonannya.

“Saya tiada hati dengan Aniq. Kami hanya berkawan. Lagi pun, saya baru berusia 15 tahun dan saya tiada masa untuk bercinta.

“Saya mahu jadi seperti mama. Kalau sudah tiba masanya, saya akan berkahwin tetapi bukan sekarang. Saya masih muda. Apa yang saya mahu buat sekarang adalah enjoy dengan hidup. Beli apa yang saya mahu dan buat apa yang saya suka.

“Soal cinta saya tolak tepi dulu. Saya tengok ramai anak muda sekarang sibuk bercinta walhal apa yang penting adalah masa depan mereka,” getus Cik B.

Sebelum menutup perbualan, Cik B, berkata, dia melihat kehadiran lelaki dalam hidup hanya merunsingkan kepala.

“Bukan saya benci lelaki tetapi saya rasa lelaki memeningkan kepala. Lainlah kalau mereka sudah jadi suami kita. Kalau setakat cari pasangan pada usia sekarang, baik tak payah.

“Baik fokus benda yang lebih penting. Kumpul duit banyak-banyak dan habiskan duit yang kita kumpul sesuka hati pada bila-bila masa tanpa kongkongan mana-mana manusia bergelar lelaki,” kata Cik B menutup perbualan.

SEDANG meraih populariti sebagai penyanyi, muzik video Tolonglah sudah mencecah tontonan lebih 2 juta hanya selepas empat hari dimuat naik dalam YouTube.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI